ARTIKEL

PENDUDUK Rumah Paulus hanya mampu melihat rumah panjang mereka ranap dalam kejadian tersebut.

88 penduduk Rumah Paulus Yan tinggal sehelai sepinggang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KANOWIT: Seramai 88 penduduk Rumah Paulus Yan, Sungai Bawan di Jalan Nibong-Tada hilang tempat tinggal selepas rumah panjang mereka ranap dalam kebakaran, hari ini (Rabu).

Kebakaran telah memusnahkan rumah panjang 15 pintu, berlaku sekitar jam 12 tengahari menyebabkan penduduknya tidak sempat menyelamatkan harta benda dan hanya tinggal sehelai sepinggang.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Zon 4 Sibu PgKB I Ts. Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 12.14 tengahari.

Susulan itu, seramai 14 anggota bomba BBP Kanowit dengan dua buah jentera FRT beserta dua buah bot sambil dibantu oleh BBP Sungai Merah telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 46 kilometer daripada balai.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang 15 pintu jenis struktur tidak kekal telah terbakar 100 peratus.

“Anggaran keluasan rumah panjang 300×100 kaki persegi dihuni seramai 88 orang dan kesemuanya selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini (Rabu).

ANGGOTA bomba sedang memadamkan sisa-sisa kebakaran.

Menurut beliau, setelah membuat ‘size up’ berkonsepkan ‘receo’, anggota bomba bertindak melakukan pemadaman secara ‘defensive’ dengan menggunakan 1 unit ‘floating pump’ aliran 300 kaki dan 1 unit ‘portable pump’ aliran 500 kaki melalui sumber air terbuka dari sungai berdekatan.

“Api berjaya dikawal pada jam 2 petang. Setelah membuat kerja-kerja ‘overhaul’ dan memastikan keadaan selamat, anggota bomba balik ke balai.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.50 petang,” ujar beliau.

Andy berkata, punca sebenar kejadian masih belum dipastikan lagi dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Operasi tersebut turut dibantu oleh empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana segera bergegas ke lokasi kejadian setelah diberitahu mengenai kejadian tersebut.

“Selepas mendapat berita kebakaran Rumah Paulus Yan di Sungai Bawan kira-kira jam 12 tengahari, saya bersama rombongan terus begegas ke tempat kejadian bagi melihat sendiri dan menyantuni mangsa.

“Saya menzahirkan rasa simpati diatas apa yang terjadi kepada rumah panjang tersebut yang melibatkan 15 keluarga,” katanya.

Anyi berkata, pihaknya akan membantu kesemua mangsa bagi meringankan bebanan yang dihadapi mereka.

“Sama-sama kita doakan agar segala urusan dipermudahkan dan semua mangsa kekal tabah dan kuat mengharungi musibah ini,” ujar beliau.

Mangsa kebakaran difahamkan akan ditempatkan di Pusat Permindahan Sementara (PPS) di Dewan Datuk Aaron Ago Dagang di Ulu Bawan.

RUMAH Paulus ranap dalam kejadian tersebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU