KUCHING: Pasukan Immune Belt Enforcement Team (IBET) telah memberi suntikan vaksin kepada kira-kira 89 peratus anjing di dalam kawasan penugasan mereka sebagai usaha membendung penularan wabak rabies di negeri ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sehingga kini pasukan IBET telah berjaya menjalankan vaksinasi di kampung-kampung dari Lundu hingga ke Lawas meliputi 1,002 kilometer.
“Usaha mereka adalah luar biasa iaitu 89 peratus daripada jumlah anjing yang dikenal pasti dalam kawasan tersebut telah disuntik vaksin. Mereka telah mencapai matlamat vaksinasi sebanyak 36,900 daripada 40,000 anjing yang disasarkan (untuk disuntik).
“Oleh itu, selepas bulan Jun 2023, tiada lagi kes rabies dilaporkan di Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Rabies di Borneo (RIB), di sini, hari ini.
Rundi juga menjelaskan bahawa IBET yang ditugaskan untuk memberi suntikan vaksin di sepanjang kawasan sempadan Sarawak perlu memastikan pergerakan anjing melintasi sempadan dapat dikawal.
Namun begitu, katanya langkah seterusnya adalah memantau dan mengawal anjing dan pemilik anjing, termasuk anjing terbiar.
Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dr Abdul Rahman Ismail dan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Datuk Dr Chai King Chung.


