ARTIKEL

Julaihi berucap pada majlis amanat bersama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi di sini, hari ini.

9 lembangan sungai dikaji untuk dibangunkan empangan hidro melata

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) telah mengenal pasti sembilan lembangan sungai untuk dikaji sama ada ia cukup berdaya maju untuk dibangunkan dengan empangan hidro melata dalam masa terdekat.

Pada masa sama, menterinya Dato Sri Julaihi Narawi berkata kerajaan telah menerima tiga permintaan dari tiga kawasan untuk dipertimbangkan bagi pembangunan empangan itu.

Justeru tanpa menyatakan kawasan terbabit, beliau menegaskan tiada elemen paksaan dalam pembangunan empangan berkenaan, dengan ia bergantung kepada permintaan dan kerjasama penduduk setempat.

“Sebelum kita meneruskan pembangunan empangan hidro melata di kawasan tertentu, kita akan menjalankan libat urus yang sewajarnya dengan masyarakat tempatan di kawasan itu.

“Bermakna jika ada keperluan dan kerjasama penuh daripada penduduk setempat di kawasan terbabit, kita akan teruskan pembinaan empangan hidro melata,” katanya dalam majlis amanat bersama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi di sini, hari ini.

Julaihi menambah, bantahan sekumpulan kecil individu ke atas pembangunan empangan hidro melata tidak wajar diambil untuk membatalkan pelaksanaan projek itu di sesebuah kawasan sedangkan ia adalah permintaan pemimpin dan majoriti penduduk setempat.

Katanya ia kerana jika pembatalan dilakukan hanya disebabkan oleh bantahan kecil itu, ia akhirnya merugikan majoriti penduduk.

“Saya fikir kita perlu menjelaskan dengan jelas bahawa suara majoriti senyap tidak boleh dicairkan oleh satu atau dua minoriti yang lantang bersuara kerana kita amat prihatin dengan pembangunan majoriti penduduk luar bandar kita.

“Kita perlu belajar daripada peristiwa-peristiwa di masa lalu, apabila empangan itu sudah dibatalkan atau pun tidak diteruskan, kemudian ada suara-suara mengatakan mereka masih perlu pembangunan.

“Jadi saya harap insiden sebegini tidak berulang pada masa depan jika kita mahu teruskan dengan empangan hidro melata,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU