KUCHING: Sebanyak 900 pokok bakau ditanam di sepanjang pesisir Sejingkat sempena Hari Antarabangsa Pemuliharaan Ekosistem Bakau sebagai usaha memulihkan ekosistem pantai serta meningkatkan perlindungan kawasan itu daripada hakisan.
Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berkata, kerjasama dengan Sejingkat Power Corporation (SPC) itu melibatkan penanaman spesies Bakau Kurap (Rhizophora mucronata) dan Api-api (Avicennia spp.).
“Ia merangkumi penyertaan kira-kira 100 pegawai serta kakitangan daripada kedua-dua organisasi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kerjasama berterusan antara JHS dan SPC yang bermula sejak 2022.
“Dengan penanaman terbaharu ini, hampir 4,000 pokok bakau telah ditanam di sepanjang pesisir pantai Sejingkat menerusi kerjasama ini.
“Usaha ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua organisasi dalam memulihkan ekosistem pesisir pantai dan memelihara kelestarian alam sekitar,” jelasnya.
Tambahnya, program penanaman itu turut diadakan bersempena dengan Hari Antarabangsa Pemuliharaan Ekosistem Bakau yang disambut pada 26 Julai setiap tahun.
“Sambutan antarabangsa ini telah diisytiharkan oleh Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2015.
“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ekosistem bakau sebagai habitat pesisir pantai yang unik, bernilai dan mudah terancam.
“Selain itu, ia menggalakkan usaha pemuliharaan, pengurusan mampan serta penggunaannya secara bijaksana,” ujarnya.
Tegasnya, JHS sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap pengurusan, pemuliharaan dan pembangunan mampan sumber hutan Sarawak akan terus memainkan peranan utama dalam melindungi ekosistem pesisir pantai negeri ini.
“Menerusi kerjasama strategik seperti ini, JHS terus mempergiat usaha pemulihan kawasan bakau bagi memulihara biodiversiti, melindungi pesisir pantai daripada hakisan serta memperkukuh daya tahan ekosistem dalam menghadapi perubahan iklim,” tambahnya.






