KUCHING: Sebanyak 99 kontinjen termasuk satu kontinjen dari Sabah akan memeriahkan perarakan Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung di Tebingan Kuching, Sabtu ini.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penyertaan tersebut dijangka melibatkan lebih 3,000 peserta, sekali gus menyerlahkan kemeriahan perarakan yang menjadi antara acara utama Sambutan Gawai Dayak setiap tahun.
Menurutnya, perarakan berkenaan akan bermula dari Tugu Pahlawan sebelum berakhir di Tebingan Kuching, dengan menampilkan pelbagai budaya dan tradisi masyarakat Dayak.
“Dengan penyertaan 99 kontinjen termasuk satu kontinjen dari Sabah, kami yakin sambutan kali ini akan berlangsung meriah dan menjadi tarikan kepada orang ramai serta pelancong.
“Kami juga berharap pihak media dapat memaklumkan kepada orang ramai serta pelancong berkaitan sambutan yang akan berlangsung nanti supaya lebih ramai pengunjung hadir menyaksikan keunikan budaya yang dipersembahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Uggah berkata, sambutan tahun ini dianjurkan oleh komuniti Iban dengan Datuk Dr. Penguang Manggil selaku pengerusi jawatankuasa penganjur, manakala persiapan keseluruhan sambutan kini berada pada tahap memuaskan.
Tambah beliau, acara Niti Daun yang akan berlangsung pada 19 Jun serta Majlis Makan Malam Gawai pada 21 Jun turut menjadi antara pengisian utama sambutan berkenaan.
Katanya, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Gawai bersama-sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


