KUCHING: Festival Kucing Antarabangsa Kuching 2026 bakal kembali memeriahkan bandar raya ini dari 2 hingga 4 Oktober depan dengan menampilkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa dan berorientasikan komuniti bagi terus mengukuhkan reputasi Kuching sebagai “Bandar Raya Kucing” yang terkenal di dunia.
Persiapan penganjuran festival tahunan yang berlangsung di Tebingan Sungai Kuching antara perkara yang dibincangkan semasa kunjungan hormat delegasi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kepada anakanda Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Dayang Norjihan di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.

Delegasi yang diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek, turut menyampaikan jemputan kepada Dayang Norjihan untuk menghadiri festival tersebut sebagai tetamu kehormat.
Dalam pertemuan itu, DBKU membentangkan beberapa acara utama yang bakal mewarnai festival tahun ini, termasuk World Cat Federation International Cat Show, Cat Parade, Cat Expo, serta majlis pelancaran dua buah buku.
Festival berkenaan dijangka terus memperkukuhkan imej Kuching sebagai “Bandar Raya Kucing” di peringkat antarabangsa, di samping menjadi platform mempromosikan pelancongan, merancakkan ekonomi tempatan serta menghimpunkan komuniti pencinta kucing dari Malaysia dan luar negara.
Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut ialah Ketua Bahagian Perhubungan Awam DBKU, Norhayati Bidin, serta wakil Suara Sarawak, Rudi Affendi Khalik.


