ARTIKEL

ADAM YII

ADUN Pujut cadang status STR bukan satu-satunya penentu kelayakan rakyat untuk SKAS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan supaya tidak menjadikan status Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebagai satu-satunya penentu kelayakan rakyat untuk menerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).

ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, meskipun beliau menyambut baik kesinambungan inisiatif SKAS bagi membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup, mekanisme penentuan kelayakan sedia ada perlu ditambah baik bagi memastikan tiada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan tercicir.

Menurutnya, terdapat kes individu yang sebelum ini menerima SKAS tetapi kemudiannya tidak lagi layak selepas nama mereka tidak tersenarai sebagai penerima STR di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Saya memahami kelebihan praktikal penggunaan data STR sebagai asas untuk mengenal pasti penerima yang layak.

“Namun, saya ingin mencadangkan agar status STR tidak dijadikan satu-satunya penentu kelayakan rakyat Sarawak untuk menerima SKAS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, kegagalan seseorang untuk terus tersenarai dalam pangkalan data STR tidak semestinya bermakna individu berkenaan tidak lagi berdepan kesulitan kewangan.

Katanya, perubahan keadaan isi rumah, maklumat yang tidak dikemas kini serta faktor lain boleh menyebabkan individu yang masih memerlukan bantuan terkeluar daripada pangkalan data sedia ada.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Kerajaan Sarawak mewujudkan mekanisme permohonan dan rayuan secara langsung bagi SKAS bagi memberi peluang kepada golongan berkenaan mengemukakan permohonan berdasarkan pendapatan isi rumah serta keadaan kewangan sebenar mereka.

Tambahnya, sistem pelaksanaan SKAS perlu mempunyai tahap fleksibiliti yang mencukupi untuk menilai keperluan sebenar rakyat, tanpa bergantung sepenuhnya pada satu pangkalan data Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata lagi, pendekatan itu penting bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sekali gus memperkukuh keberkesanan SKAS sebagai inisiatif Kerajaan Sarawak dalam menangani tekanan kos sara hidup.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU