ARTIKEL

Membelai Pelangi Senja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BENEDICT Anak Samling berasal dari Kampung Benuk, Padawan Kuching Sarawak. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia. Beliau menghasilkan beberapa karya cerpen dan puisi yang disiarkan di dalam akhbar dan majalah.

PADA ketika ini Nok hanya ingin berlari membelah angin, menjentik daya tarikan graviti lalu lenyap tanpa jejak di sebalik pelangi. Mungkin itu dapat meredakan kekusutan yang semakin membengkak di dalam dadanya.

Senja mulai menjenguk ke segenap Kota Kuching yang semakin lesu setelah seharian dibakar bahang matahari di siang hari.

Namun, dia masih berada di atas Jambatan Darul Hana yang menjadi mercu terbaru Bumi Kenyalang.

Langit merah pucat yang mengerikan itu seakan-akan cuba menakut-nakutkan Nok untuk mengangkat kakinyan menuju ke kenderaan dan kembali ke pangkuan keluarga.

Apakah ini balasan yang setimpal dengan usahaku? Haruskah aku menyerah? Nok memberengut, cuba melepaskan gelembung keresahan yang menyesakkan salur nafasnya.

Biasanya, Nok akan cepat-cepat pulang sebelum senja membalut langit, tetapi tidak pada kali ini. Kisah senja yang sering dikaitkan dengan kisah mistik hanyut bersama arus sungai Sarawak yang membawa sampah- sarap yang tidak pernah surut dari perbualan seharian masyarakat dunia.

Kisah mistik masyarakat Sarawak itu dibiarkan melerai di muara sungai Sarawak yang menghubungkan Laut China Selatan.

Hari ini, kaki Nok begitu berat meninggalkan Jambatan Darul Hana. Gelojak di dalam dadanya semakin
mengganas. Isi dadanya semakin tepu dengan masalah perusahaannya, setepu langit yang dibalut warna merah pucat.

Jambatan yang menjadi simbol kedamaian dan ketenangan di Bumi Kenyalang itu juga seperti tidak terdaya untuk menampung beban di dalam dada Nok.

“Apa lagi yang mereka mahukan?” desis Nok di dalam hatinya. Dengingan nyamuk yang seperti berpesta di cuping telinganya dibiarkan sahaja.

Sesekali dia melontarkan pandangannya ke arah bangunan berbumbung seperti terendak gergasi yang menjadi pelindung kepada penghuni-penghuni di dalam bangunan itu, juga seperti dirinya melindungi para karyawannya yang semakin longlai bagaikan sehelai kain perca.

Para karyawan di kilang tekstilnya itu bagaikan tulang belakang yang retak, kewujudnya dapat dilihat, namun kewujudan itu membawa kesakitan pada dada dan mata Nok.

HILANG SEMANGAT BEKERJA
Bermacam cara Nok cuba bangkitkan mereka dari alam khayalan, tetapi usaha Nok seperti dilingkari dinding batu yang teramat tebal.


Sungguh Nok tidak mengerti, kenapa mereka seperti tidak menghargai usaha Nok dalam menjaga periuk nasi mereka. Apa lagi yang harus diberi? Tidak cukupkah dengan gaji minum yang diberi seperti disaran kerajaan?


Entah mengapa sejak akhir-akhir ini para karyawan di Perusahaan Tekstil Nok Enterprise seperti kehilangan jiwa.


Para karyawannya lebih berminat melabuhkan kepala mereka di meja seperti sebuah bahtera yang tersadai di sebuah pulau di tengah lautan.

Bahtera tanpa nakhoda yang menunggu masa untuk dilanggar ombak yang menggila ganasnya sehingga
pecah berderai menjadi sampah di atas lautan misteri.


Ketika melihat suasana seperti itu, begitu cepat gambaran sekumpulan orang utan di Hutan Simpan
Semongoh menerpa masuk ke dalam fikirannya.


Berdetak di dalam hatinya, bagaimana makhluk itu dapat hidup sehingga ke hari ini? Bagaimana mereka dapat bertahan dalam perubahan iklim klimat yang berubah dengan mendadak? Soalan itu menerjah ruang fikiran Nok.


Saban hari Nok dicurah dengan bayangan resah melihat para pekerjanya seperti manusia tidak bernyawa. Nok sudah menyediakan segalagalanya untuk keselesaan para pekerjanya.


Namun, apa yang dipamerkan ialah sebuah potret tentang kematian. Kematian yang meninggalkan jasad yang masih bernyawa. Apakah ini pulangan yang harus diterima oleh Nok? Apakah Nok terkurang
memberi? Nok inginkan jawapan dari satu suara sekurang-kurangnya tetapi bagaikan ditapak perkuburan.

Hanya bau kesepian yang menyelubugi segenap sudut ruang yang dipenuhi mesin
jahit dan mesin tenun.

Dan, kedengaran desir nafas yang sendat seperti menyedut semua oksigen yang ada dipermukaan Bumi ini.

“Jahitan ini tidak seburuk seperti yang kamu lihat,” ujar salah seorang karyawan beberapa hari lalu. Dia yang didatangkan dari negara jiran sudah memasuki tahun pertama menumpah keringatnya untuk perusahaan Kain Pua Kumbu Nok acap kali membuang kain yang tersalah jahit.


“Mengapa kamu berkata begitu?” tanya Nok. Dia mengerut keningnya.


“Kerana ia hanya sehelai kain. Tidak lebih dari itu,” jawab pekerjanya itu dengan penuh
yakin.

SENYUMAN SINIS
Masih terbayang di mata Nok ketika perbualan ringkas yang jarang-jarang berlaku itu disambut dengan senyuman sinis, gelak ketawa, dengusan dan gelengan dari para karyawan yang membelai-belai
kain pua kumbu itu.

Nok mengangkat tangannya. Jari telunjuknya diangkat menuju ke langit seperti
sedang menunjukkan sesuatu yang misteri turun dari langit.

Sepi. Para karyawan cepat-cepat menatap kainpua kumbu yang terbentang
di hadapan mereka. Ada yang menggunting, ada yang menenun, ada yang menjahit
dan tidak kurang ada yang masih membelai meja.

Kaki mereka bagaikan diikat dengan ketulan batu yang teramat berat ketika mengayuh pemijak mesin jahit. Pemandangan itu membuatkan dada Nok seperti dicucuk oleh ribuan jarum jahit.

Nok melontarkan pandangannya jauh ke seberang jalan untuk mencari pemandangan yang dapat
meredakan kepedihan di dalam dadanya. Matanya seperti digam pada beberapa batang tiang elektrik di
seberang jalan.

Tiang-tiang elektrik itu juga seperti para pekerjanya. Ada yang hampir tumbang. Ada yang dipenuhi rumput menjalar. Tiang-tiang itu hanya akan bebas dari sebarang kekotoran jika ada orang besar
yang akan bertandang atau diadakan pesta besar.

Namun, tiang-tiang itu adalah seperti nadi kepada perusahaan pua kumbu Nok. Tiang-tiang itu membekalkan elektrik yang menghidupkan kilang tekstilnya lalu digunakan untuk peralatan menjahit dan
menenun.

Namun, tiang-tiang itu adalah seperti nadi kepada perusahaan pua kumbu Nok.

Tiang-tiang itu membekalkan elektrik yang menghidupkan kilang tekstilnya lalu digunakan untuk peralatan menjahit dan menenun.

Tiang-tiang itu pasti tidak tahu betapa ia amat penting dalam kehidupan Nok dan juga penduduk sekitar.

Tanpa tiang elektrik itu, mungkin manusia juga akan menjadi seperti tiang.

Nok mengharapkan pekerjanya juga seperti tiang elektrik itu, menyalurkan segala tenaga mereka untuk memenuhi permintaan pelanggan dan menghasilkan kain pua kumbu yang terbaik di dunia. 

Tetapi, saban hari para pekerjanya seperti benangbenang yang basah.

Longlai! Nok dapat rasakan beberapa bulan kebelakangan ini senyuman pada wajahnya kian pudar.

Bukan dia tidak mahu menggerakkan bibirnya untuk mengukir senyuman tetapi dia tidak mampu berpura-pura.

Nok tahu kepura-puraan amat menyakitkan dirinya.

Nok ingin berterus terang namun dia pasti para karyawan di dalam kilangnya itu akan bertindak balas.

Dan, Nok yakin atas nama kebenaran pasti ada jiwa yang tersakiti.

Mereka tidak seperti Nok yang kalis kebenaran.

Sampai bila Nok mampu berselindung di sebalik bayang-bayang kepura-puraan? Ah! Ini satu malapetaka. Bertenang.

Bertenang. Kini, Nok berada di dalam lubuk dilema.

Jika keadaan berterusan, perusahaan tekstilnya itu akan menjadi potret sejarah di dalam hidupnya.

Sejarah yang pasti membawa kelukaan yang berpanjangan.

Luka yang tiada penawarnya.

Jika Nok berterus terang, para pekerjanya akan mogok dan tidak menjenguk tapak rezeki mereka.

Bukan tidak pernah dia menegur pekerjanya disebabkan kualiti kain yang dihasilkan tidak setaraf dengan nilai ribuan ringgit yang dibayar pelanggan.

Entah di mana silapnya teguran itu sehingga kerugian bertandang mengetuk pintu kilang tekstil Nok.

“Kamu harus tegas,” kata bapanya ketika Nok menceritakan keadaan di dalam kilang itu.

Sebagai salah seorang pemegang taruh, bapanya wajar mengetahui keadaan di dalam perusahaan tekstil itu.

Kata-kata bapanya itu menyusup masuk ke benaknya.

Para pekerjanya itu bukan kanak-kanak yang perlu dikasari.

Nok menarik nafasnya dengan dalam, membiarkan bau hanyir dari Sungai Sarawak memenuhi rongga hidungnya.

Nok merasakan bau hanyir itu lebih mendamaikan jika dibandingkan dengan suasana di dalam kilang tekstilnya, suasana yang amat menakutkan dari suasana senja pada ketika itu.

Ubun-ubun Nok berdenyut kencang seperti ditanam dengan ribuan selumbar, menunggu masa untuk menembusi kulit kepalanya.

Nok seperti sedang mengejar pelangi, lekuk tujuh warna itu nampak dekat namun tidak tercapai dek tangan.

Begitu juga para karyawannya, mereka sangat dekat tetapi sukar untuk disentuh malah retak derainya akan semakin menonjol jika cuba disentuh.

SUKAR DITEGUR

Setiap apa yang dia lakukan harus berhati-hati.

Andai tersalah langkah, kejadian yang sama akan berulang dan pasti akan meranapkan perusahaannya itu.

“Diplomasi sudah, rekonsiliasi pun sudah.

Apa lagi yang mereka mahukan?” desis Nok di dalam hatinya.

Nok menggosok-gosok tapak tangan dan memicit-micit jari-jemarinya.

Nok sudah pun menggunakan pelbagai kaedah yang telah dikongsikan oleh penceramah di dalam bengkel Pengurusan Tenaga Kerja beberapa bulan yang lalu.

Kaedah menang dan menang, bersemuka, luahan isi hati dan pelbagai kaedah digunakan untuk menaikkan semangat bekerja para pekerja namun semua kaedah itu seperti sampah-sarap yang hanyut bersama arus Sungai Sarawak.

Bukankah itu diplomasi?

Rekonsiliasi macam mana lagi yang mereka mahukan?

Tidak cukupkah dengan pertemuan dua pasang mata?

Luahan dari hati ke hati?

“Jangan berhentikan mereka.

Ada mulut yang sedang menanti mereka di rumah,” ujar ibunya ketika dia berkira-kira untuk melepaskan pekerja yang tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Kata-kata ibunya itu tidak segera dijawab oleh Nok.

“Jika begitu aku yang akan menanggung kerugian,” jawab Nok perlahan.

“Berniaga bukan sematamata mencari keuntungan.

Bukankah itu yang kamu katakan dahulu?” ujar ibunya.

Kata-kata ibu menyesakkan lagi dadanya.

Benar seperti kata-kata ibunya, para pekerjanya itu bergantung harap dengan pendapatan sebagai penenun dan penjahit kain pua kumbu.

Dan, mencari untung semata-mata di dalam perniagaan bukan sasaran utamanya.

Itu ikrarnya dahulu. Namun, dia juga perlu meneruskan hidup.

Sejak kebelakangan ini para pelanggan mulai menjauhkan diri dari Perusahaan Tekstil Nok Enterprise.

Dari maklum balas para pelanggan, kain yang mereka dapat tidak seperti yang dijanjikan, tidak seperti yang dipaparkan di dalam katalog.

Mereka menuntut ganti rugi.

Ratusan ribu ringgit bukan nilai yang boleh dikorek dengan mudah dari akaun bank.

Nok sudah pun melangkah ke usia 35 dan sepanjang usianya itu dia seperti bayi yang sedang belajar berjalan.

Beberapa kali dia terjatuh, tetapi kembali bangkit walau terpaksa menongkat pada desir nafasnya.

Kini, dia kurang pasti adakah masih ada sisa nafas untuk dia berpaut agar dapat bangkit dan terus berjalan atau mungkin sudah tiba masanya untuk dia menukar cara dia bangkit atau dia perlu mengubah haluan atau terus membelai pelangi di atas Jambatan Darul Hana.

Ah! Semakin dilerai semakin berpintal. Matanya dileretkan ke arah jam tangannya. Jarum jam yang menunjukkan pukul enam tiga puluh.

Perahu-perahu penambang mula berlabuh di tebing Sungai Sarawak.

Dia seperti dipukau.

Matanya menatap tidak berkedip perahu-perahu penambang yang kosong.

Pemandu perahu penambang menambat perahunya dengan penuh tertib.

Bahagian tempat duduk digosok dengan sehelai kain dan lantai perahu disapu.

Kemudian, susuk tubuh itu mengangkat enjin bot yang tertera 20 kuasa kuda.

Sekali hayun, enjin itu mendarat kemas pada bahunya.

Dari garis-garis pada wajahnya, mungkin susuk tubuh itu sedang meniti pada usia 50-an.

Enjin bot itu kemudian diikat di bahagian belakang motosikal yang juga seperti seusia dengannya.

Perasaan kagum Nok berbutir-butir di dalam dadanya melihat akan kesungguhan susuk tubuh itu mengerjakan pekerjaannya.

Tangan pemandu perahu penambang yang sedang mengikat enjin bot pada belakang motosikalnya itu menjentik hulu hati Nok.

Tangan itu bersimpang siur mengikat dan melilit tali pada badan enjin bot.

Lilitan tali begitu kemas dan teratur.

Pemandu perahu penambang itu menggoncangkan enjin itu.

Enjin itu seperti dilekat pada tempat duduk motosikalnya.

Selepas selesai mengikat enjin bot itu, lelaki itu duduk di atas motosikalnya.

Matanya memandang ke arah sungai.

Kemudian matanya dialihkan ke arah botnya yang bergerakgerak dilambung arus Sungai Sarawak yang semakin laju.

Kaki Nok seperti dikawal oleh alat kawalan jauh.

Cepatcepat dia melangkah menuruni jambatan yang menjadi simbol perpaduan dan kedamaian di Bumi Kenyalang itu.

Dia menuju ke arah lelaki yang sedang duduk bersama enjin bot di atas motosikalnya.

Tanga lelaki membelai-belai enjin bot itu seperti sedang membelai kekasih hati.

Belum sempat Nok menyapa, pemandu perahu penambang itu bingkas turun dari motosikalnya.

“Tuan Nok,” sapanya sambil tangan kirinya diletak pada dada.

“Bagaimana pak cik kenal saya?” tanya Nok kehairanan. “Saya pernah bekerja di kilang Tuan,” ujar lelaki itu.

“Jadi, kenapa pak cik berhenti?” tanya Nok lagi.

Soalan Nok tidak segera dijawab.

Wajah Nok ditatap dalam seperti tatapan seorang bapa ketika anaknya melakukan kesalahan.

KERJA DAN KEHIDUPAN

“Tuan, pekerjaan itu seperti kehidupan,” ujar pemandu perahu penambang itu.

Katanya lagi, “pekerjaan itu perlu dinikmati, dihargai dan dirasai kewujudannya,” bibir keringnya mengukir senyuman.

Nok mengerut keningnya.

Dia kurang pasti akan makna jawapan pemandu perahu penambang itu.

“Jadi, bekerja di kilang kain saya tiada kehidupan?” tanya Nok.

Senyuman pemandu perahu penambang itu semakin melebar sehingga kedut-kedut pada sisi mata jelas menghiasi wajahnya.

Dia naik ke atas motosikalnya dan terus memijak penghidup tendang.

Motosikalnya mengaum.

Asap putih berkepul-kepul keluar dari ekzos.

“Pulanglah tuan.

Pelangi senja sudah pun berlalu pergi,” ujar pemandu perahu penambang itu.

Perlahan-lahan motosikalnya bergerak dan hilang di sebalik kabut senja.

Mata Nok terkebil-kebil.

Dia mendongak.

Lekuk tujuh warna itu semakin menipis pada dada langit.

Matanya dialih ke arah Masjid Terapung di tebing Sungai Sarawak yang mulai dibanjiri oleh para jemaah.

“Esok pasti ada pelangi senja,” bisik Nok perlahan.


BERITA LAIN

Alam sajak dalam sajak

PENYAIR dan sajak tidak dapat dipisahkan. Penyair umpama seorang ibu yang menghamilkan benih idea dan ilham sebelum melahirkan sesebuah sajak dan mencintainya seperti anak kandungnya

Selamat Hari Pekerja, Kaki dan Tangan

SHIELD SAHRAN berasal dari Kuching, Sarawak. Melibatkan diri dengan penulisan cerpen dan seterusnya sajak dan novel. Mula menceburkan diri dalam penulisan di akhbar tempatan pada

Isteri aku, namanya Diam

JONG CHIAN LAI AKU, punyai tujuh perasaan dan satu akal. Kerana tujuh perasaan itu, aku menjadi gadis gelandangan. Yang merayau di tepi jalan beralaskan selipar

Selamat tinggal, perempuan berambut putih

CLAYTON ROBERT bertugas Sebagai Pembantu Penguat Kuasa di Majlis Daerah Serian di Serian, Sarawak. Karya beliau tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah termasuk Mingguan Malaysia,

Matinya presiden kami!

Seluruh jelata Asmaraloka dikejutkan dengan khabar liar yang berhembus sejak semalam itu. Semacam tidak percaya, rasanya baru seminggu lepas presiden mereka itu mendapat tepukan dan

BERITA TERBARU

Malaysia kekal pertahan hak Palestin – PM Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi pendirian bahawa Malaysia kekal mempertahankan hak rakyat Palestin. Beliau berkata pendirian itu turut dinyatakan