PENERBIT terkenal, Datuk A. Aida menerima dengan hati terbuka hakikat bahawa filem terbitannya, Bisikan Nafsu, tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan selepas mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 1 Oktober lalu.
Bagaimanapun, beliau yang juga penulis skrip dan lirik tetap bersyukur apabila lagu tema filem berkenaan, Tanpa Rasa Jemu, mendapat sambutan yang baik daripada pendengar.
Menurut A. Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, setiap karya mempunyai perjalanan dan rezeki tersendiri. Oleh itu, beliau reda dengan penerimaan penonton terhadap filem berkenaan.
“Filem Bisikan Nafsu tidak mendapat sambutan, tetapi saya reda. Allah belum nak bagi rezeki, namun Alhamdulillah, lagu tema Tanpa Rasa Jemu mendapat sambutan.
“Alah bagi di situ. Buat filem memang kena gamble, tidak boleh menaruh harapan terlalu tinggi,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Beliau turut memaklumkan akan mengumumkan nama pemenang hadiah pada November ini, selain merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong filem berkenaan.
“November ini saya akan umumkan siapa yang menang hadiah. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan kepada yang tidak menyokong pun, terima kasih juga.
“Semoga Allah permudahkan urusan kita semua. Amin,” katanya.
Sikap terbuka A. Aida itu memperlihatkan realiti industri perfileman yang menuntut keberanian untuk mengambil risiko, terutamanya apabila penerimaan penonton tidak semestinya sepadan dengan usaha dan harapan penerbit.
Filem Bisikan Nafsu merupakan karya drama arahan Riza Baharudin yang diterbitkan oleh Hello Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama A. Aida Production dan Mache Allstar United.

Filem berkenaan menampilkan Aniq Suhair dan Azeva Natasha sebagai pelakon utama, selain barisan pelakon berpengalaman seperti Zul Huzaimy, Aleza Shadan, Raja Azmi, Watie Sadali, Ezzaty Abdullah, Aishah Husna dan Lan Siro.
Turut membabitkan pelakon dalam filem berkenaan ialah Siti Khadijah Halim dan Ameng Spring.
Mengangkat tema pengkhianatan, penderaan seksual dan kesan trauma, Bisikan Nafsu mengisahkan kehidupan Nadia yang menjadi mangsa perbuatan keji bapa tirinya, UR, seorang ustaz terkenal yang menjalani kehidupan berbeza daripada imej yang ditampilkan kepada masyarakat.
Trauma yang dialami Nadia menyebabkan dia menjadi murung sehingga mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan dengan Arisz. Malah, Nadia turut berdepan krisis emosi yang mendorongnya untuk cuba membunuh diri beberapa kali.
Bagaimanapun, Arisz tidak berputus asa dan terus berusaha memahami perubahan sikap tunangnya itu.
Untuk rekod, A. Aida yang berasal dari Besut, Terengganu, mempunyai pengalaman luas dalam industri hiburan tanah air. Beliau pernah membintangi kira-kira 100 drama dan beberapa filem sebelum mengembangkan kerjayanya di belakang tabir sebagai penerbit.
Beliau mengasaskan A. Aida Production Sdn. Bhd. pada 2003 dan terus terlibat dalam penerbitan pelbagai karya televisyen serta filem, termasuk Ratu Kala Jengking (2020).



