Anggota polis ditangkap terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah

PADAWAN: Seorang anggota polis antara lima individu yang ditangkap kerana disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah di sini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata suspek ditahan bersama empat orang penganggur, tiga lelaki dan seorang wanita dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Batu Kawa Residence, Jalan Batu Kawa sekitar jam 3 petang semalam.

“Pemeriksaan di dalam rumah terbabit menjumpai dadah jenis syabu seberat 17.30 gram yang diletakkan di atas almari di ruang tamu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata anggota polis lelaki terbabit bersama seorang lagi suspek lelaki didapati negatif dadah manakala tiga lagi rakannya termasuk suspek wanita positif dadah jenis syabu.

Aidil menambah siasatan awal juga mendapati salah seorang suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Abie dengan harga RM2,000.

“Dadah itu diambil secara buang barang di kawasan Bandar Baru Batu Kawah (MJC),” katanya.

Katanya kesemua mereka yang berusia 27 hingga 43 tahun itu telah dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padawan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suara Sarawak