KOTA SAMARAHAN: Abang Ismawi Abang Ali secara rasminya dilantik menjadi Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) bagi sesi 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028.
Pelantikan tersebut sekali gus menyaksikan Ismawi yang merangkap selaku Timbalan Pengerusi MPKS sebelum ini menggantikan posisi Datuk Peter Minos yang memegang jawatan terbabit pada edisi lalu.
Majlis angkat sumpah jawatan itu berlangsung lancar dengan disempurnakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, pagi tadi.
Sementara itu, jawatan Timbalan Pengerusi MPKS turut berpindah tangan dan kini disandang oleh Daily Joseph.
Berucap pada majlis perasmian itu, Sim menegaskan agar mereka yang telah diberi tanggungjawab untuk memberikan khidmat bakti selaku barisan hadapan Kerajaan Sarawak.

“Kaunselor bukan sahaja sebagai jawatan semata-mata, ia merupakan satu tanggungjawab kerana mereka merupakan lapisan ketiga Kerajaan Sarawak, walaupun kamu (kaunselor) di lapisan ketiga, namun kita sama-sama merupakan barisan hadapan Kerajaan Sarawak.
“Sebabnya, setiap aduan yang dihadapi oleh rakyat juga akan dirasai dan diterima oleh kaunselor walaupun hakikatnya ada sesetengah perkara seperti jalan raya bukan di bawah tugasan anda.
“Rakyat tidak akan menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk melaporkan isu-isu berkaitan, mereka akan menghubungi anda,” katanya.
Mengulas lanjut, Sim percaya MPKS mempunyai tanggungjawab besar selaras dengan usaha kerajaan negeri yang kini mempergiatkan aktiviti pembangunan di kawasan Samarahan yang merangkap gedung ilmu Sarawak.
“Di sini kita ada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Pusat Jantung, Hospital Pengajar, pusat penyakit berjangkit dan pusat kanser.
“Kita bukan sekadar sebagai hab perubatan di sini tapi sebagai metropolis kesihatan, sekali gus menjadi satu ekosistem yang lengkap.
“Jadi kaunselor hari ini mesti menjadi yang lebih baik daripada kaunselor terdahulu, dan MPKS antara yang berperanan penting,” tambahnya.


