Abang Johari: 4 perkara dalam MA63 tidak boleh dirunding

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sekali lagi menegaskan empat perkara yang diberikan kepada negeri ini sebagai hak asas di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dirunding.

Menurutnya dalam rundingan yang sedang berlangsung antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, beliau menekankan mengenai pendirian Kerajaan Sarawak yang tidak terbuka untuk rundingan dalam empat perkara serta akan terus dipertahankan.

“Empat perkara terbabit adalah kuasa autonomi imigresen, hak negeri untuk menguatkuasakan percukaian seperti mengenakan cukai jualan negeri, bayaran pelabuhan, dan undang-undang negeri yang lain.

“Selain itu, Sarawak juga bertegas mengenai perlindungan sempadan negeri dan kedaulatan dasar laut, bawah tanah serta hasil-hasilnya dalam sempadan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada mesyuarat pertama Majlis Khas MA63 melalui sidang video yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Abang Johari menegaskan bahawa perkara-perkara tersebut tidak akan dibuka untuk sebarang rundingan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion; Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pemangku Peguam Negeri Saferi Ali.

Suara Sarawak