ARTIKEL

Abang Johari bercakap pada Majlis Perasmian Persidangan Padi Sarawak Kedua 2026 di Kuching, hari ini. FOTO: RAMIDI SUBARI

Abang Johari mahu Sarawak hasilkan beras lebih sihat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penyelidik dan saintis perlu meneroka varieti padi baharu yang mampu menghasilkan beras lebih sihat, termasuk kandungan gula atau karbohidrat lebih rendah, selain meningkatkan hasil sehektar bagi menyokong sasaran sara diri beras Sarawak.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penyelidikan perlu bergerak serentak dalam aspek benih, teknologi, pengurusan dan pemakanan supaya pembangunan industri padi tidak hanya mengejar jumlah pengeluaran, tetapi turut menghasilkan makanan yang lebih berkualiti.

“Mungkin saintis boleh meneroka bagaimana kita menghasilkan beras yang mempunyai kandungan gula lebih rendah.

Sekarang, dari sudut kesihatan, terlalu banyak karbohidrat boleh menyumbang kepada masalah seperti diabetes.

“Kalau kita boleh menghasilkan beras seperti basmati atau beras dengan kandungan karbohidrat lebih rendah, saya fikir rakyat Malaysia boleh mendapat pilihan makanan yang lebih sihat,” katanya pada Majlis Persidangan Padi Sarawak Kedua 2026 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, ujarnya, penyelidikan sedemikian boleh memberi nilai tambah kepada industri padi Sarawak dan pada masa sama membuka ruang kepada Malaysia membangunkan jenama sendiri dalam penghasilan makanan sihat.

“Mudah-mudahan kita dapat menghasilkan makanan sihat dan Malaysia mempunyai jenama sendiri sebagai pengeluar makanan sihat.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga sedang mengenal pasti jenis benih baharu yang mampu memberikan hasil lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak sedang mengkaji semula dasar pengeluaran padi dengan memberi tumpuan kepada empat komponen utama iaitu infrastruktur termasuk reka bentuk ladang, benih yang sesuai, teknologi serta sumber manusia.

“Beras merupakan makanan ruji rakyat, justeru pengeluaran domestik mesti dipertingkat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar.

“Masalah yang perlu kita tangani ialah infrastruktur termasuk reka bentuk ladang, benih, teknologi dan sumber manusia,” jelasnya.

Menurutnya, Sarawak telah mengenal pasti kira-kira 14,000 hektar tanah bagi penanaman padi melibatkan tanah kerajaan dan tanah pekebun kecil.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 7,000 hektar atau 50 peratus merupakan tanah kerajaan yang diwartakan khusus untuk pengeluaran padi.

“Pewartaan itu penting supaya kawasan berkenaan tidak ditukar kepada tanaman lain yang dianggap lebih menguntungkan seperti kelapa sawit.

“Ini memberikan jaminan bahawa tanah tersebut kekal tersedia dan digunakan bagi penanaman padi,” ujarnya.

Katanya, penyelidik bersama Jabatan Pertanian perlu menilai varieti yang boleh meningkatkan hasil purata daripada sekitar 1.2 tan metrik sehektar bagi satu musim kepada sasaran lapan hingga 12 tan metrik sehektar bagi satu musim.

“Ini satu sasaran yang mencabar, tetapi saya percaya saintis boleh membuat simulasi dan meneroka benih baharu termasuk benih hibrid serta kaedah pengurusan yang sesuai untuk tanaman padi,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU