KUCHING: Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sarawak akan beroperasi seperti biasa pada Khamis (15 Oktober) ini.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, sekolah dan institusi pendidikan di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan pelajar.
“Pelajar yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah penjagaan kesihatan susulan keadaan jerebu semasa.
“Ibu bapa dan penjaga dibenarkan untuk tidak menghantar anak masing-masing ke sekolah sekiranya bimbang akan kesihatan mereka susulan keadaan jerebu yang masih melanda beberapa lokasi di Sarawak.
“Bagaimanapun, ibu bapa dan penjaga perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah,” katanya.
JPN Sarawak turut memaklumkan bahawa sebarang perubahan atau maklumat terkini berhubung perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

