KUCHING: Sebanyak RM51.155 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 1,629 projek dan pemasangan kemudahan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang sepanjang tempoh 2016 hingga 2026.
ADUN Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata, peruntukan berkenaan meliputi pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
Menurutnya, antara projek yang dilaksanakan termasuk 86 projek perparitan dan pengairan, 50 projek jalan raya, 92 projek dewan masyarakat, 44 projek sekolah dan 43 projek berkaitan bangunan keagamaan, selain pemasangan 1,200 lampu jalan.
‘’Pelaksanaan RTP turut merangkumi penambahbaikan taman rekreasi, kemudahan sukan, jambatan serta kemudahan penjaja bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau menambah, pencapaian ini bukan sekadar angka dalam laporan pembangunan, sebaliknya mencerminkan perubahan yang dapat dilihat dan dinikmati penduduk dalam kehidupan seharian.
Lo berkata, penaiktarafan jalan raya bukan sahaja meningkatkan keselamatan dan kelancaran perjalanan, malah penambahbaikan sistem perparitan turut membantu melindungi kawasan kediaman serta premis perniagaan daripada risiko banjir.
Menurutnya, pemasangan lampu jalan pula meningkatkan keselamatan kawasan kejiranan, manakala penyediaan dewan masyarakat, penambahbaikan sekolah dan kemudahan rekreasi memberi manfaat kepada penduduk pelbagai peringkat usia.
Beliau berkata, bantuan bagi bangunan keagamaan turut mencerminkan penghormatan kepelbagaian agama di Sarawak, sementara penyediaan kemudahan penjaja membuka peluang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan.
Dalam pada itu, Lo merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas sokongan berterusan dengan pembangunan serta kesejahteraan penduduk Batu Kitang.



