SIBU: Kerajaan Sarawak diminta untuk memperkukuh perkhidmatan penerbangan dari Sibu, khususnya laluan ke Kuching, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu apabila kumpulan kedua pesawat tiba untuk operasi AirBorneo.
ADUN Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, penduduk Sibu dan kawasan tengah Sarawak masih berdepan tambang penerbangan yang tinggi, pengurangan kekerapan penerbangan serta pilihan penerbangan terus yang terhad.
“Bagi rakyat Sarawak, perjalanan udara bukan satu kemewahan, sebaliknya perkhidmatan penting untuk urusan perniagaan, pendidikan, rawatan perubatan, pekerjaan dan komitmen keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut Chieng, laluan Sibu-Kuching penting untuk menghubungkan kawasan tengah Sarawak dengan ibu negeri, manakala penerbangan terus ke Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu diperlukan bagi menyokong urusan perniagaan, pelancongan serta hubungan serantau.
Beliau berkata, penambahan kekerapan penerbangan dan pengukuhan laluan berkenaan dapat membantu memenuhi keperluan penduduk Sibu dan kawasan tengah Sarawak.



