KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjanjikan insentif kepada atlet Sarawak yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor jika berjaya memenangi pingat sekali gus mempertahankan gelaran kejuaraan temasya itu.
Beliau berkata sasaran setiap atlet yang membawa cabaran Sarawak ke temasya itu mesti jelas, iaitu turun bertanding dengan mentaliti juara dan berusaha membawa pulang kejayaan untuk mempertahankan kejuaraan negeri.
Katanya, walaupun setiap pertandingan mempunyai kemungkinan untuk menang atau kalah, atlet Sarawak perlu meletakkan sasaran kemenangan dalam setiap acara yang disertai.
“Apabila kita bertanding, mesti ada menang, mesti ada kalah. Tetapi Sarawak mesti menang. Bukan sahaja mengangkat nama negeri kita, tetapi meningkatkan standard yang ada.
“Saya percaya apabila kita datang ke Selangor, tidak kira di daerah mana kita ditempatkan, kita mesti mempunyai semangat, ‘saya datang sini untuk menang, bukan untuk kalah’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke SUKMA Selangor 2026, di Hotel Raia, di sini hari ini.
Tegas Abang Johari, atlet tidak seharusnya terlalu memikirkan soal insentif ketika bertanding, sebaliknya memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mencapai kemenangan, dengan insentif yang diterima akan bertambah berdasarkan pencapaian.
“Saya masa di Sarikei sudah berjanji kepada penjawat awam untuk beri dua bulan bonus dan untuk anda insentif pasti ada, boleh diatur tetapi apa yang penting adalah pastikan Sarawak kekalkan kejuaraan di Selangor kelak. Lupakan yang lain-lain. Berikan tumpuan kepada acara sukan, bersedia dengan baik dan balik sekali lagi menjadi juara.
“Yang penting ialah mesti menang. Lupakan insentif kerana insentif bertambah mengikut nilainya. Yang penting, kita mesti menang,” katanya.

Tambahnya, kejayaan mempertahankan kejuaraan bukan hanya bergantung kepada kemampuan atlet, tetapi turut memerlukan persediaan rapi, kemudahan latihan yang baik serta sokongan berterusan daripada kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, atlet Sarawak perlu membawa mentaliti juara ketika berada di Selangor dan tidak menjadikan lokasi pertandingan atau status lawan sebagai alasan untuk berasa rendah diri.
Beliau turut mengingatkan semua atlet supaya menjaga kesihatan, memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap acara masing-masing serta mengelakkan perkara yang boleh menjejaskan prestasi.
Katanya, pencapaian dalam bidang sukan juga penting bagi mencerminkan kemajuan Sarawak secara keseluruhan, selain melahirkan generasi muda yang sihat, berdisiplin dan mempunyai daya saing tinggi.
Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata kerajaan negeri tidak akan melupakan atlet yang berjaya menyumbang pingat, sama ada emas, perak atau gangsa, pada SUKMA 2026.
Bagaimanapun, katanya, pingat emas menjadi keutamaan kerana jumlah emas menjadi penentu utama kedudukan sesebuah kontinjen dalam penentuan juara keseluruhan SUKMA.
“Daripada SUKMA yang lepas, setiap atlet yang mendapat pingat, sama ada emas, perak atau gangsa, kita tidak lupa terhadap mereka. Tetapi mestilah, kalau dapat, kita mahu melihat emas.
“Kerana untuk SUKMA, sama ada kita menjadi juara keseluruhan atau tidak, yang dilihat adalah emas dahulu.
“Kalau jumlah emas sama, kedudukan nombor satu dan nombor dua akan ditentukan berdasarkan jumlah perak.
“Jadi, emas amat penting sekali. Lebih banyak pingat emas, lebih baik,” katanya.

Abdul Karim berkata, pengumuman berhubung kadar insentif kepada atlet akan dibuat selepas SUKMA 2026 berakhir bagi memastikan atlet tidak menjadikan ganjaran kewangan sebagai motivasi utama ketika bertanding.
“Insentif kita hanya akan diumumkan selepas habis SUKMA kerana kita mahu atlet-atlet itu bersaing bukan untuk duit, bukan untuk insentif, tetapi lebih kepada kejayaan peribadi dan mendapatkan kejuaraan untuk Sarawak.
“Kita tidak akan melupakan mereka,” katanya.
Mengulas sama ada jumlah insentif kali ini akan lebih tinggi berbanding edisi lalu, Abdul Karim berkata perkara itu masih dalam penelitian kerajaan negeri dan jumlahnya mungkin dinaikkan, dikekalkan atau dikurangkan.
Katanya, berdasarkan tinjauan yang dibuat, jumlah insentif tertinggi yang ditawarkan ketika ini ialah sekitar RM10,000 bagi pingat emas, manakala Sarawak memberikan RM15,000 kepada pemenang pingat emas pada edisi SUKMA lalu.
“Buat masa ini, berdasarkan tinjauan kita, jumlah tertinggi, kalau tidak silap saya, ialah Selangor, RM10,000.
“Pada SUKMA yang lalu, kita memberikan RM15,000 kepada pemenang pingat emas. Untuk kali ini, ia mungkin lebih rendah, mungkin lebih tinggi atau dikekalkan pada jumlah yang sama. Kita akan lihat,” ujarnya.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Chef de Mission Sarawak bagi Para SUKMA Datuk Seri Dr Mohammad Naim Mokhtar, Chef de Mission Sarawak bagi SUKMA, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Penolong Chef de Mission Sarawak, Datin Hajah Mastura.


