BINTULU: Sarawak terus mengorak langkah ke hadapan dalam sektor teknologi tinggi apabila OCI Tokuyama Semiconductor Materials Sdn Bhd (OTSM) bakal membangunkan sebuah loji pembuatan polysilicon gred semikonduktor bernilai RM2 bilion di Taman Perindustrian Samalaju.

Projek usaha sama antara OCI TerraSus Sdn Bhd dari Korea Selatan dan Tokuyama Corporation dari Jepun ini akan dibina di kawasan seluas 13.7 hektar dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 8,000 metrik tan polysilicon berketulenan tinggi, bahan utama dalam pengeluaran semikonduktor untuk dieksport ke pasaran teknologi utama seperti Korea, Jepun dan Taiwan.
Pembinaan dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun ini dengan kerja-kerja mekanikal disasarkan siap pada suku pertama 2027, manakala operasi penuh dijangka bermula menjelang tahun 2029.
Loji ini merupakan projek utama kedua OCI TerraSus di Sarawak susulan pelancaran usaha sama dengan Kumho P&B Chemicals – OCI Kumho pada 2024 bagi pengeluaran epiklorohidrin (ECH), sejenis bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan resin epoksi, rawatan air dan industri getah.
Majlis pecah tanah projek yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyifatkan projek itu sebagai pemangkin penting dalam membina ekosistem semikonduktor yang kukuh di negeri ini.
“Ini adalah pencapaian besar dalam memajukan pembangunan industri berteknologi tinggi dan mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan, infrastruktur serta visi jangka panjang Sarawak. Ia juga mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi strategik untuk pelaburan teknologi yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis pecah tanah Loji OTSM dan pertukaran dokumen Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement atau PPA) bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) di Taman Perindustrian Samalaju, pada Rabu.
Menurut beliau, loji baharu itu akan menghasilkan polysilicon berkualiti tinggi yang merupakan bahan asas penting dalam industri semikonduktor global merangkumi sektor peranti pintar, kenderaan elektrik, pusat data dan kecerdasan buatan (AI).

Pelaburan tersebut, tambahnya, sejajar dengan Kerangka Strategik Semikonduktor Sarawak yang menyasarkan pembangunan rantaian nilai penuh industri tersebut, termasuk pengeluaran wafer dan cip elektronik.
“Dengan pelaburan ini, Sarawak semakin hampir untuk menjadi hab pembuatan teknologi tinggi serantau dan terus mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai semikonduktor global,” katanya lagi.
Menurut Abang Johari, projek ini merupakan kesinambungan kepada usaha sama strategik OCI TerraSus bersama Kung Ho Petrochemicals dalam pengeluaran epiklorohidrin (ECH) sebelum ini.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut mendedahkan bahawa kerajaan negeri kini sedang membangunkan makmal penyelidikan cip berkuasa AI di Cardiff, United Kingdom, menerusi kerjasama dengan institusi akademik di negara tersebut.
“Matlamatnya adalah untuk menghasilkan cip AI berskala yang boleh dipasarkan secara global dan memiliki harta intelek antarabangsa menjelang akhir tahun ini.
“Ini adalah pelan tindakan yang Sarawak sedang laksanakan. Dengan adanya loji baharu ini, pengeluaran bahan semikonduktor akan menjadi pemacu kepada penyertaan lebih besar Sarawak dalam industri masa hadapan ini,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri terhadap dasar pembangunan mampan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) yang memberi tumpuan kepada tenaga hijau dan teknologi baharu.
“Sarawak beruntung kerana dianugerahkan sumber semula jadi yang membolehkan kita menjana 70 peratus tenaga daripada hidro, selain potensi besar dalam tenaga suria dan hidrogen. Ini akan membantu kita menghasilkan bahan semikonduktor yang diiktiraf sebagai produk hijau bertaraf global,” ujarnya.
Pengerusi OCI Holdings dan OCI TerraSus Sdn Bhd, Lee Woo Hyun; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah merangkap ADUN Kemena; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Samalaju, Datuk Majang Renggi; dan Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu, Datuk Haidar Khan Asghar Khan turut hadir.

