KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan sendiri Kuching City FC mencatat satu lagi detik bersejarah apabila meraih mata pertama dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 selepas seri 1-1 dengan Kitchee SC di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.
Abang Johari yang tiba di stadium kira-kira 9 malam menyaksikan aksi kedua Kumpulan H itu bersama anakandanya Dayang Norjihan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengerusi Eksekutif Kuching City, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.

Kehadiran Abang Johari ini menyerlahkan sokongan perkembangan The Cats yang kini bukan sahaja membawa cabaran Sarawak dalam pertandingan domestik, malah turut membawa nama negeri dan Malaysia di pentas Asia.
Pertemuan berkenaan turut menjadi aksi pertama Kuching City di laman sendiri dalam pertandingan kelab peringkat benua Asia selepas membuka kempen menentang Phnom Penh Crown FC di Kemboja bulan lalu.
Di hadapan penyokong sendiri, Kuching City bermula pantas apabila memperoleh jaringan pendahuluan seawal minit kedua menerusi gol sendiri penjaga gol Kitchee, Pong Cheuk Hei.
Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila wakil Hong Kong menyamakan kedudukan menerusi Everton Camargo pada minit ke-14 sebelum keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.


Keputusan berkenaan memberikan The Cats mata pertama selepas dua perlawanan dan meletakkan skuad itu di tangga ketiga Kumpulan H, manakala Kitchee berada satu mata di hadapan mereka di kedudukan kedua.
Dalam satu lagi aksi kumpulan, Phnom Penh Crown meneruskan permulaan sempurna dengan menewaskan Gangwon FC 2-1 di Korea Selatan untuk mengumpul enam mata daripada dua perlawanan dan menduduki tangga teratas.
Malam bersejarah itu turut diwarnai kehadiran kira-kira 40 penyokong tegar Kitchee yang dikenali sebagai Ultras Bluewave.
Kumpulan penyokong berkenaan menghidupkan satu sudut Stadium Taha Ariffin dengan sorakan sepanjang perlawanan, sekali gus mencipta suasana berbeza ketika berdepan laungan penyokong The Cats di gelanggang sendiri.

Kehadiran penyokong dari Hong Kong menambahkan lagi dimensi antarabangsa kepada aksi berkenaan, khususnya buat Kuching City yang buat pertama kali merasai suasana pertandingan peringkat Asia di hadapan penyokong sendiri.
Bagi seramai 5505 penyokong tempatan yang hadir, aksi itu menjadi peluang menyaksikan sendiri The Cats bersaing dengan kelab luar negara dalam kejohanan benua selepas melayakkan diri ke ACL2 menerusi pencapaian sebagai naib juara Liga Super 2025-2026.
Selepas dua aksi, Kuching City kini mengalihkan fokus kepada perlawanan ketiga Kumpulan H dengan cabaran getir menanti apabila berkunjung ke Korea Selatan untuk menentang Gangwon FC pada 29 Oktober.
Kitchee pula akan bertandang ke Kemboja untuk berdepan pendahulu kumpulan, Phnom Penh Crown pada hari sama.


