KUCHING: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang meluangkan masa berkunjung ke rumah terbuka sahabat handai sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), hari ini.
Perjalanan mereka dimulakan dengan menghadiri rumah terbuka sambutan TBC (TBC) 2024 peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) sekitar jam 9.55 pagi.
Sejurus selepas itu, Abang Johari dan rombongannya terus bergerak ke Hotel Waterfront Kuching untuk menghadiri Rumah Terbuka TBC Penasihat Peguam Negeri, Datuk Seri JC Fong.
Kehadiran beliau itu disambut mesra oleh Fong dan isterinya Datin Seri Annie Fong pada jam 11.45 pagi.
Turut mengiringi beliau adalah Timbalan Premier
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan isterinya Datuk Dayang Morliah Awang Daud; dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan isteri Datin Seri Zuraini Abdul Jabbar.
Antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri Puan Sri Datin Amar Fatimah Mohamad Iskandar; serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir.
Selepas menghabiskan kira-kira sejam untuk menikmati hidangan, Abang Johari dan rombongannya bertolak ke kediaman Pengarah Urusan Plaza Merdeka Datuk Steve Ng Thian Yew, dan kemudian berkunjung di kediaman Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pakar Perubatan Normah (NMSC) Datuk Dr Au Yong Kien Hoe.
Pada setiap kunjungan rumah terbuka, tuan rumah menjemput Abang Johari dan rombongannya untuk menyempurnakan simbolik tradisi Cina ‘yee sang’ iaitu menggaul hidangan terdiri daripada kepingan ikan mentah yang dicampur dengan sayur-sayuran dicincang dan pelbagai sos dan perasa, serta bahan-bahan lain.



