ARTIKEL

Dr Amina Josetta Kayani, Pengarah Eksekutif ABM

ABM: 50 tahun memacu rangkuman kewangan dan kelestarian untuk masa depan perbankan di Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sejak lima dekad lalu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) terus berdiri teguh menyokong komuniti di seluruh negara.

Melalui pelbagai inisiatifnya, ABM memberikan sokongan nasihat perbankan yang membawa perubahan bermakna dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia, sekali gus menjamin masa depan yang lebih cerah untuk semua.


ABM memastikan sektor perbankan bukan sahaja berfungsi sebagai tulang belakang ekonomi negara, tetapi juga berperanan dalam menyokong pembangunan mampan dan keterangkuman sosial.
Persatuan ini memberi tumpuan kepada pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pembiayaan hijau yang dilihat sebagai kunci kepada daya tahan ekonomi jangka panjang.

Semasa pandemik COVID-19 pula, ABM memainkan peranan penting dengan bank-bank ahli ABM menyediakan moratorium pinjaman dan bantuan pembayaran bersasar kepada individu dan perniagaan yang terjejas.


Langkah ini membantu perniagaan bertahan dalam tempoh yang mencabar dan melindungi pekerjaan bagi ribuan rakyat Malaysia.


Sehingga Julai 2024, jumlah pembiayaan yang belum dijelaskan kepada PKS telah mencapai RM 401.8 bilion, yang merangkumi 51 peratus daripada pembiayaan perniagaan di Malaysia.


Dalam usaha meningkatkan kadar celik kewangan dalam kalangan rakyat, ABM aktif menjalankan program pendidikan yang bertujuan mempromosikan tabiat pengurusan kewangan yang bertanggungjawab.

Melalui program ini, ABM bukan sahaja memperkasa individu untuk membuat keputusan kewangan yang bijak, tetapi turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi secara keseluruhan.
ABM turut mempergiatkan usaha melibatkan pengguna serta pihak berkepentingan industri dalam mempromosikan kelestarian dan keterangkuman melalui pelbagai kerjasama.

Antaranya termasuk kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Leadwomen dalam mempromosikan kepelbagaian di sektor perbankan dan TalentCorp untuk menyelaraskan amalan industri perbankan dengan pembangunan bakat negara.
Dalam memacu agenda kelestarian, ABM bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti dalam Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) untuk menangani risiko iklim dalam sektor kewangan.
Dalam matlamatnya untuk memajukan kelestarian dan keterangkuman sosial, ABM terus menyokong sektor pembiayaan hijau dengan menyediakan platform untuk bank-bank ahli berkongsi amalan terbaik.

ABM bersama Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei, komited untuk mengadakan program pembinaan kapasiti berkenaan amalan kelestarian untuk PKS dan menyokong generasi pemimpin perniagaan masa hadapan.
ABM juga kekal komited dalam meningkatkan ketelusan dan pengurusan risiko iklim dalam sektor kewangan.

Persatuan ini turut menganjurkan Persidangan Perbankan Malaysia (MBC) sejak tahun 2022, yang menghimpunkan pemimpin industri dan pakar untuk berkongsi strategi kelestarian dan piawaian alam sekitar, masyarakat dan tadbir urus (ESG).

MBC 2024 dijayakan dengan kehadiran lebih daripada 600 wakil dari institusi kewangan tempatan dan antarabangsa.
Dengan usaha ini, ABM terus memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi negara demi menjamin masa depan yang lebih cerah untuk rakyat Malaysia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU