KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) perlu merangka perancangan jangka panjang bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang untuk memastikan perkhidmatannya terus relevan seiring perkembangan pesat kawasan Petra Jaya.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki berkata, perancangan itu perlu mengambil kira pembangunan berskala besar, termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu, pelabuhan dan pelbagai projek pembangunan di Petra Jaya.
Menurutnya, perkembangan itu bakal membawa cabaran serta tanggungjawab baharu kepada DBKU yang memerlukan pendekatan lebih progresif.
“DBKU tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan sedia ada kerana keperluan masyarakat dan keadaan bandar raya sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa.
“Apa yang kita lakukan hari ini mungkin tidak lagi relevan esok, dan apa yang kita lakukan esok mungkin tidak lagi relevan pada hari berikutnya. Kita mesti berfikir 10 tahun ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Minggu Inovasi dan Integriti DBKU di sebuah hotel di sini, hari ini.
Visi Sarawak untuk menjadikan Kuching sebagai hab pelaburan dan pelancongan memerlukan DBKU menilai semula strategi serta pendekatan penyampaian perkhidmatannya.
Dalam pada itu, beliau berkata DBKU telah menerima kira-kira 250 anugerah dan pengiktirafan sejak penubuhannya pada 1988, termasuk anugerah peringkat Platinum dan Emas.
Bagaimanapun, pencapaian itu perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada masyarakat kerana orang ramai lebih menilai mutu perkhidmatan yang diterima berbanding proses dalaman atau pengiktirafan organisasi.
Menurutnya, DBKU merekodkan 4,502 maklum balas orang ramai dari Januari hingga Oktober tahun ini dengan kadar penyelesaian aduan mencapai 97 peratus setakat Oktober.
Daripada jumlah itu, aduan berkaitan penyelenggaraan sistem perparitan mencatatkan angka tertinggi, iaitu 673 aduan atau kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan maklum balas.
Beliau turut meminta DBKU meneliti aduan berulang, mengenal pasti punca sebenar masalah dan menambah baik kaedah penyelenggaraan bagi mengelakkan isu sama terus berlaku.
“Gunakan pendekatan 3R, iaitu Review (Semak), Rethink (Fikir) dan Recharge (Perkasa) yang menekankan penilaian semula proses kerja, pencarian penyelesaian lebih baik serta peningkatan keupayaan kakitangan.
“Selain itu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) digalakkan bagi membantu menganalisis corak aduan, mengenal pasti masalah berulang dan menentukan keutamaan tindakan,” katanya.
Beliau turut meminta DBKU memperkukuh kerjasama antara agensi bagi menangani isu yang membabitkan jabatan kerajaan lain dan mengelakkan pendekatan bekerja secara berasingan kerana masyarakat melihat kerajaan sebagai satu entiti.
Menyentuh pembangunan bandar, beliau berkata DBKU perlu meneroka penyediaan lebih banyak kawasan hijau, ruang rekreasi dan kemudahan sukan di Petra Jaya bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Kemudahan laluan pejalan kaki juga perlu dirancang dengan mengambil kira keperluan warga emas, ibu bapa yang membawa anak kecil serta pengguna kerusi roda supaya pembangunan bandar dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

