KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan keputusan PKR Sarawak untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 adalah bagi mencerminkan semangat kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sekali gus menafikan dakwaan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen kononnya beliau dan PKR tunduk kepada GPS apabila parti itu memilih untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak kali ini.
“Kita kerjasama (dengan GPS) bukan tunduk,” kata beliau ringkas kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 di sini hari ini.
Sebelum ini, PKR Sarawak menarik diri daripada bertanding pada PRN Sarawak ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dan demi kestabilan politik serta pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
Chong turut mendakwa langkah itu mengorbankan demokrasi di Sarawak sebagai pertukaran kepada sokongan berterusan GPS terhadap Kerajaan Persekutuan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Dis dan hari pengundian pada 12 Dis ini.
Pada PRN Sarawak 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan DAP dua kerusi.
GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/ .
— BERNAMA


