KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 17 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana merogol anak jirannya berusia lapan tahun, empat tahun lalu.
Tertuduh berusia 42 tahun itu mengaku bersalah atas lima pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah stadium mini di Serian, pada pertengahan tahun 2023 dan pertengahan tahun 2024.
Manakala, pertuduhan ketiga, di didakwa di bawah Seksyen 12(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak (SOACA) 2017 (Akta 792), kerana berkomunikasi melalui aplikasi Whatapps menggunakan telefon dengan mangsa untuk terlibat dalam aktiviti bersifat seksual.
Dia melakukan kesalahan itu dalam rumah di sebuah kampung di Serian, sekitar jam 1.00 petang, pada 29 Disember 2025.
Bagi pertuduhan keempat pula, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama dengan meraba payudara di sebuah stadium mini di Serian, pada pertengahan tahun 2024.
Pendakwaan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak (SOACA) 2017.
Pertuduhan kelima pula, dia didakwa mengikut Seksyen 15B(a) SOACA 2017 (Akta 792) kerana mengugut mangsa untuk terlibat dalam aktiviti seksual dalam rumah di sebuah kampung di Serian, sekitar jam 1.00 petang, 29 Disember 2025.
Musli menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua.
Manakala, pertuduhan ketiga, dia dikenakan hukuman penjara tiga tahun, pertuduhan keempat penjara tujuh tahun dan pertuduhan kelima penjara lima tahun.
Kesemua hukuman diperintahkan berjalan secara berasingan berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 2 Januari lepas.
Menurut fakta kes, pada 29 Disember 2025, pengadu merupakan nenek mangsa berasa curiga terhadap cucu perempuannya berusia 11 tahun enam bulan kerana melihat mangsa bermain telefon pintar.
Pengadu meminta mangsa untuk memeriksa telefon pintar terbabit.
Semasa memeriksa telefon terbabit mendapati cucunya bersembang dengan seorang lelaki yang tidak dikenali.
Kemudian mangsa mengaku telah melakukan hubungan seks dengan tertuduh sejak tahun 2023 di sebuah stadium mini dan di dalam kereta.
Setelah mengetahui perkara tersebut, pengadu terus berjumpa dengan tertuduh bertanyakan perkara terbabit.
Semasa ditanya, tertuduh mengaku melakukan hubungan seks dengan mangsa dan merayu agar tidak memberitahu perkara terbabit kepada bapa mertuanya kerana berasa malu, serta meminta maaf kepada pengadu.
Pengadu yang merasa cucunya terhina lalu membuat laporan polis mengenai perbuatan terkutuk tertuduh yang telah mencemarkan maruah cucunya.
Selain itu, pengadu juga membawa cucunya ke hospital untuk pemeriksaan dan pakar perubatan mengesahkan terdapat koyakan lama pada hymen mangsa.
Tertuduh berjaya ditangkap pada 2 Januari lepas di tepi jalan di Kampung Hilir, Serian sekitar jam 2.15 petang.
Hasil siasatan mendedahkan tertuduh telah merogol mangsa sebanyak dua kali dan melakukan amang seksual fizikal.
Selain daripada itu, tertuduh juga menghantar mesej kepada mangsa mengugut untuk menyebar video mangsa melakukan hubungan seks.
Tertuduh juga menawarkan imbuhan duit mengajak mangsa melakukan hubungan seks sebelum perkara terbabit diketahui nenek mangsa.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aiman Zarith Zahrullail, manakala siasatan kes dilakukan oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Victor Buckland Dusim Oh.



