KUCHING: Sarawak meneruskan penganjuran acara pelancongan dan kebudayaan berskala penuh, walaupun Kerajaan Persekutuan sebelum ini menggalakkan langkah penjimatan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara seperti festival muzik, makanan dan kebudayaan perlu dianjurkan dengan penuh komitmen bagi memastikan matlamat memperkenalkan budaya tempatan serta menarik penyertaan orang ramai dapat dicapai.
Mengambil contoh penganjuran acara seperti Festival Hutan Hujan Sedunia (RWMF), beliau berkata acara itu tidak seharusnya dilakukan secara ala kadar kerana festival berkenaan bertujuan menampilkan persembahan terbaik kepada pengunjung.
“Jika ia festival makanan dan kebudayaan, kita mahu orang ramai dapat mencuba makanan kita serta melihat budaya yang ditampilkan. Jika ia acara muzik seperti RWMF, kita mahu persembahan yang terbaik ditampilkan,” katanya dalam sidang media Persembahan Sarkas ‘The Great British Circus’ di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah acara di Sarawak akan dianjurkan secara sederhana susulan saranan penjimatan oleh Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Abdul Karim berkata pendekatan tersebut berbeza kerana langkah penjimatan yang disarankan lebih tertumpu kepada penganjuran rumah terbuka perayaan yang masih boleh dilaksanakan secara sederhana tanpa menjejaskan tujuan sambutan.
Katanya, penganjur boleh mengurangkan jumlah hidangan yang disediakan berbanding sebelum ini sebagai langkah berjimat.
Beliau menambah, setiap kerajaan mempunyai pendekatan tersendiri dalam menguruskan perbelanjaan serta penganjuran acara di bawah pentadbiran masing-masing.



