KUCHING: Beberapa acara utama di Sarawak termasuk sambutan Hari Kebangsaan, Maulidur Rasul dan Program Sarawakku Sayang (SKS) ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang melanda negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan rakyat, terutama golongan yang mempunyai masalah asma dan mudah terjejas akibat pencemaran udara.
“Kita mahu mengelakkan masalah, terutama kerana mereka yang menghidap asma mungkin berdepan risiko lebih tinggi dalam keadaan cuaca seperti ini.
“Acara boleh ditangguhkan dan kita telah menangguhkan kesemuanya. Kita akan lihat bagaimana keadaan ini dalam tempoh satu atau dua minggu akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan AI untuk Pembuat bersempena Festival Pembuat Borneo 2026 di TEGAS Digital Village, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, keputusan berhubung sambutan Hari Malaysia pada 16 September pula akan dibuat berdasarkan keadaan jerebu apabila tarikh berkenaan semakin hampir.
“Diharapkan begitu. Ia pada 16 September ini. Kita akan lihat keadaan,” ujarnya.
Beliau turut berkata, keadaan jerebu ketika ini terutama menjejaskan kawasan selatan Sarawak, manakala Brunei dan kawasan utara tidak mengalami keadaan yang sama.
Abang Johari berkata, beliau turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keadaan jerebu di Sarawak ketika pertemuan mereka di Brunei.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan peningkatan penggunaan elektrik susulan cuaca panas serta diskaun bil elektrik 10 peratus yang ditawarkan Sarawak Energy Berhad sehingga Disember, beliau berkata keadaan itu tidak akan memberi implikasi kewangan yang ketara kepada kerajaan negeri.
“Tidak begitu. Tetapi nasihat saya, berhati-hati, terutama berkaitan kesihatan. Tenaga boleh dibeli, tetapi kesihatan tidak boleh dibeli,” jelasnya.


