ARTIKEL

Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin dipilih sebagai gelanggang rasmi Kuching City FC bagi aksi laman sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2) 2026/2027. | Foto: Johor Southern Tigers

ACL2 2026/2027: Larkin jadi venue tuan rumah Kuching City FC

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kuching City FC bakal membawa ‘rumah’ mereka ke selatan tanah air apabila Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru dipilih sebagai gelanggang rasmi bagi aksi laman sendiri pada penampilan sulung dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2) musim 2026/2027.

Pemilihan stadium di Johor Bahru itu dibuat selepas Stadium Taha Ariffin, gelanggang rasmi The Cats masih menjalani kerja naik taraf dan pengubahsuaian yang belum dapat disiapkan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan saingan peringkat Asia.

Stadium tersebut kini melalui kerja-kerja penambahbaikan yang menelan peruntukan berjumlah RM7 juta, menyebabkan Kuching City FC perlu menggunakan venue alternatif bagi tiga aksi laman sendiri sepanjang peringkat kumpulan ACL2.

Jadual rasmi peringkat kumpulan yang melibatkan Kuching City FC dalam saingan ACL2.

Berdasarkan jadual saingan yang dikeluarkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Kuching City FC diundi dalam Kumpulan H Zon Timur bersama Gangwon FC dari Korea Selatan, Kitchee SC dari Hong Kong dan Phnom Penh Crown FC dari Kemboja.

The Cats akan membuka kempen dengan aksi di tempat lawan menentang Phnom Penh Crown FC pada 17 September sebelum kembali ke Malaysia untuk melayani kunjungan Kitchee SC di Stadium Larkin pada 15 Oktober.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak kemudian akan menerima kunjungan Gangwon FC pada 5 November sebelum menutup aksi peringkat kumpulan di Larkin dengan pertemuan menentang Phnom Penh Crown FC pada 26 November.

Sementara itu, dua lagi aksi tempat lawan menyaksikan The Cats berdepan Gangwon FC di Korea Selatan pada 29 Oktober, sebelum mengakhiri saingan kumpulan dengan kunjungan ke Hong Kong menentang Kitchee SC pada 3 Disember.

Penyertaan dalam ACL2 menjadi satu lagi lembaran penting buat The Cats selepas menamatkan saingan Liga Super Malaysia 2025/2026 sebagai naib juara dengan 53 mata hasil 16 kemenangan dan lima keputusan seri.

Pencapaian itu sekali gus mengesahkan tiket ke pentas Asia serta menamatkan penantian kira-kira 10 tahun Kuching City FC untuk beraksi dalam pertandingan kelab Asia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU