ARTIKEL

Aidil Sharin Sahak pada sidang media praperlawanan Kuching City FC menentang Phnom Penh Crown FC dalam saingan ACL2, semalam.

ACL2: Safawi Bersedia, Ajdin Belum Pasti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ketika Safawi Rasid berada pada prestasi terbaik, penyertaan penyerang Ajdin Mujagic masih menjadi tanda tanya buat Kuching City FC menjelang pertemuan penting menentang Phnom Penh Crown FC dalam saingan Liga Juara-Juara Dua AFC (ACL2), hari ini.

Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berkata, meskipun Safawi mempamerkan ketajaman dalam beberapa perlawanan terakhir, beliau tidak mahu skuad The Cats terlalu bergantung kepada pemain kebangsaan itu untuk memburu kemenangan.

“Bagi saya, pasukan terdiri daripada 11 pemain di atas padang. Tiada pemain bintang atau pemain yang lebih penting kerana semua mempunyai peranan masing-masing.

“Setiap pemain perlu mematuhi perancangan taktikal dan memberikan persembahan 100 peratus. Pemain gantian juga perlu sentiasa bersedia untuk meningkatkan intensiti permainan,” katanya pada sidang media praperlawanan, semalam.

Menurut Aidil, kekuatan Kuching City terletak pada kerjasama seluruh pasukan dan bukannya kehebatan individu, terutama ketika berdepan lawan berpengalaman di pentas Asia.

Sementara itu, Aidil berkata, status kecergasan Ajdin masih belum dapat dipastikan dengan penyerang kelahiran Bosnia-Herzegovina itu perlu menjalani ujian sebelum keputusan penyertaannya dibuat.

Dalam perkembangan sama, empat pemain disahkan tidak dapat beraksi akibat kecederaan iaitu Ronald Ngah Wanja, Gabriel Peres, Jimmy Raymond dan Wesley Azcang.

“Keadaan semakin baik kerana jumlah pemain yang mengalami kecederaan semakin berkurangan. Hanya empat pemain itu masih belum dapat diturunkan, manakala pemain lain sudah bersedia untuk beraksi,” katanya.

Skuad The Cats yang menghuni tangga ketiga dengan empat mata perlu memburu kemenangan bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan 16 terbaik selepas tewas 1-2 kepada wakil Kemboja itu pada pertemuan pertama, September lalu.

Kuching City menerima kunjungan Phnom Penh Crown dalam aksi kelima Kumpulan H ACL2 di Stadium Taha Ariffin, Kuching pada jam 6 petang ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU