SRI AMAN: Seorang guru sekolah rendah dijatuhkan hukuman penjara efektif selama 60 tahun dan 24 sebatan selepas disabitkan atas 64 pertuduhan kesalahan seksual membabitkan lapan kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen Iris Awen Jon menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh selepas mempertimbangkan faktor pemberatan dan mitigasi serta mengambil kira peruntukan undang-undang berkaitan hubungan amanah antara pesalah dengan mangsa.
Secara keseluruhannya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 260 tahun dan 160 sebatan terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan sebahagian hukuman penjara berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan efektif selama 60 tahun, berkuat kuasa dari tarikh dia direman.
Pelaksanaan hukuman sebatan pula tertakluk kepada had maksimum 24 sebatan sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 288 Kanun Tatacara Jenayah.
Daripada 64 pertuduhan berkenaan, sebanyak 59 pertuduhan dikemukakan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), manakala lima lagi mengikut Kanun Keseksaan.
Pertuduhan mengikut akta tersebut membabitkan 23 kesalahan menghasilkan pornografi kanak-kanak di bawah Seksyen 5, 22 kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di bawah Seksyen 14(a) serta 14 kesalahan memiliki atau mengawal pornografi kanak-kanak di bawah Seksyen 10.
Dia turut disabitkan atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 377C kanun yang sama.
Iris menegaskan bahawa mahkamah terikat dengan peruntukan undang-undang, termasuk keperluan mengenakan hukuman sebatan mandatori pada kadar minimum yang ditetapkan bagi pertuduhan berkaitan.
Mahkamah turut mengambil kira Seksyen 16 Akta 792 yang memperuntukkan hukuman tambahan terhadap pesalah yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.
Selain hukuman penjara dan sebatan, dia diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan, selaras dengan Seksyen 26 akta berkenaan.
Dia juga diperintahkan menjalani pengawasan selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara, sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 27 akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jonathan Lim Hsi How, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Boston Ho dan Clement Hii.

