ARTIKEL

Abang Johari menerima kunjungan hormat darupada ACWA Power. | Foto: UKAS

ACWA Power perkukuh kerjasama strategik dengan SEDCE

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kunjungan hormat ACWA Power kepada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merupakan langkah penting ke arah menjadikan Sarawak sebagai hab serantau hidrogen hijau, sekali gus memperkukuh kerjasama strategiknya dengan SEDC Energy (SEDCE).

SEDCE berkata, Pengasas dan Pengerusi ACWA Power, Mohamamad Abunayyan bersama delegasinya megadakan kunjungan tersebut sebagai satu langkah menggariskan komitmen syarikat itu untuk mencontohi projek perintisnya, Projek Hidrogen Hijau NEOM di Arab Saudi, dengan membawa skala dan aspirasi yang sama ke Sarawak.

Abang Johari menerima kunjungan hormat darupada ACWA Power. | Foto: UKAS

“NEOM merupakan projek hidrogen hijau terbesar di dunia yang sedang dibangunkan, menyasarkan empat GW kuasa boleh diperbaharui untuk menghasilkan 600 tan hidrogen hijau setiap hari.

“Projek bernilai USD8.4 bilion ini bertujuan meletakkan Arab Saudi sebagai peneraju ekonomi hidrogen global, satu aspirasi yang selari dengan visi tenaga bersih Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Inisiatif ini selaras dengan komitmen pelaburan bernilai USD10 bilion ACWA Power di Malaysia – diumumkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN-GCC pada Mei 2025.

“Sarawak dijangka meraih manfaat besar melalui pembangunan infrastruktur, pemindahan teknologi dan limpahan ekonomi,” jelasnya.

ACWA Power dan SEDCE di Sarawak sedang meneroka pembangunan fasiliti hidrogen hijau dikuasakan sehingga empat GW tenaga boleh diperbaharui terkawal, dengan kapasiti elektroliser sebanyak dua GW untuk tujuan eksport dan penyahkarbonan domestik.

“ACWA Power dan SEDCE telah menandatangani perjanjian tahun lalu yang menjadi asas kepada kerjasama ini.

“Selari dengan itu, kedua-dua pihak turut berbincang secara aktif dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk meneroka projek solar terapung di Empangan Hidro Batang Ai dan Murum,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya, ACWA Power dan SEDCE juga telah berhubung dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) serta Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) bagi memastikan penyelarasan dari segi peraturan.

“Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada komitmen pelaburan ACWA Power bernilai USD10 bilion di Malaysia, sekali gus meletakkan Sarawak di barisan hadapan pembangunan tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.

Usaha ini seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak (HETR) serta mencerminkan pengukuhan kerjasama tenaga bersih antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi.

Keyword: UTAMA / Sarawak / ACWA Power / Hidrogen Hijau / SEDC Energy (SEDCE) / NEOM Project / Tenaga Boleh Diperbaharui

BERITA LAIN

BERITA TERBARU