KITA hidup dalam dunia yang terlalu cepat untuk sempat membaca. Segala-galanya berlalu dalam sekelip mata— berita, imej, suara dan perasaan.
Antara ribuan skrin yang bersinar setiap hari, manusia menjadi pembaca yang serba pantas, serba tergesa-gesa.
Kita menatal lebih banyak daripada membaca, kita melihat lebih banyak daripada kita memahami.
Dalam dunia yang diatur oleh algoritma, adakah manusia masih punya masa dan jiwa untuk membaca dengan makna?
Sekali imbas, dunia moden seolah-olah telah menjarakkan manusia daripada halaman buku.
Anak muda kini tidak lagi berbaris di kedai buku, tetapi di ruangan maya, tidak lagi mengutip nota di pinggir buku, tetapi di ruangan “caption” yang terbatas.
Sastera yang suatu ketika dahulu menjadi ruang merenung dan menyoal, kini bersaing dengan video 15 saat dan mesej berantai.
Namun begitu, di sebalik keheningan yang tampak, masih ada percikan yang belum padam.
Di tengah dunia tatal (scroll), masih ada yang mencari buku, bukan kerana nostalgia, tetapi kerana rindu akan makna.
Budaya tatal dan lenyapnya tumpuan “Scroll” atau tatal bukan lagi tindakan teknikal, ia kini menjadi gaya hidup.
Kita bangun pagi dan tangan pertama kali mencari telefon, bukan untuk membaca doa, tetapi untuk melihat apa yang baharu di dunia maya.
Dalam satu minit, kita mungkin sudah membaca sepuluh tajuk berita, menonton lima video, dan menilai seratus wajah.
Namun, selepas semua itu, apa yang kita benar-benar faham?
Fenomena ini telah lama dibincangkan oleh ahli psikologi dan ahli budaya.
Manusia kini kehilangan “tumpuan mendalam” (deep attention).
Membaca novel 200 halaman menjadi tugas berat, membaca esei panjang terasa membebankan.
Dunia media sosial membentuk tabiat baharu, bacaan laju, makna singkat, kepuasan segera.
Seperti yang dinyatakan oleh penulis Nicholas Carr dalam The Shallows, manusia moden “tidak lagi membaca untuk memahami, tetapi untuk bergerak cepat dari satu maklumat ke maklumat lain.”
Dalam konteks Sarawak, kesan ini jelas. Golongan muda kini lebih mengenali puisi dalam bentuk video TikTok daripada di halaman buku.
Mereka membaca dalam bentuk “petikan”, bukan “teks penuh”.
Mereka mengingati “kata-kata indah” yang bertebaran di media sosial, tetapi jarang menelusuri dari mana kata-kata itu datang. Bacaan kini menjadi santapan ringan, bukan lagi perjalanan intelektual.
Dunia buku semakin sunyi
Di beberapa perpustakaan dan kedai buku di Sarawak, suasana sering tenang, mungkin terlalu tenang.
Buku-buku tersusun rapi, tetapi tangan yang menyelak semakin berkurang.
Menurut data Perpustakaan Negara, kadar bacaan rakyat Malaysia masih rendah, purata hanya sekitar 15 hingga 20 buku setahun bagi mereka yang aktif membaca, manakala majoriti membaca kurang daripada lima.
Namun jangan silap, ini bukan tanda kematian buku. Ini tanda perubahan cara manusia mendekati maklumat.
Buku masih hidup, cuma ruangnya semakin kecil di tengah lautan digital.
Di Sarawak, acara seperti Pesta Buku Sarawak, Pesta Buku Borneo di UNIMAS, dan Festival Penulis Sarawak masih terus diadakan saban tahun.
Puluhan penerbit, ratusan pelajar dan pengunjung datang, sebahagiannya untuk mencari buku, sebahagiannya untuk merakam gambar.
Tetapi kehadiran ini menunjukkan sesuatu, minat membaca tidak hilang, hanya berubah bentuk dan ruang.
Sastera masih punya tempat, tetapi pembaca hari ini mencari pengalaman baru, buku yang boleh dirasai di tangan, tetapi juga boleh diakses di skrin.
Evolusi cara membaca Generasi hari ini bukan buta huruf, mereka hanya membaca dengan cara yang berbeza.
Puisi tidak lagi hanya di kertas, ia dibacakan dengan muzik latar dan disiarkan di TikTok.
Cerpen tidak lagi diterbitkan dalam majalah, ia hidup di Wattpad, Medium dan blog peribadi.
Pembaca tidak duduk diam di kerusi, mereka membaca sambil bergerak, sambil makan, sambil bekerja.
Perubahan ini bukan sekadar teknologi, ia juga perubahan budaya.
Sastera, dalam bentuk digitalnya, sedang menyesuaikan diri dengan dunia pantas.
Namun, dalam penyesuaian itu, muncul persoalan penting.
Adakah makna masih sama apabila kata kehilangan waktu untuk direnung?
Kita kini membaca tanpa sempadan, tetapi juga tanpa kedalaman.
Kita mendapat banyak maklumat, tetapi sedikit kebijaksanaan.
Inilah paradoks dunia moden, semakin banyak membaca, semakin sedikit yang benar-benar kita fahami.
Apa yang hilang?
Membaca buku terutama karya sastera, bukan sekadar menambah pengetahuan.
Ia melatih empati, menanam kesabaran dan memperhalus rasa.
Apabila kita membaca novel, kita bukan hanya mengenal watak, tetapi belajar merasai dunia dari mata orang lain.
Puisi mengajar kita mendengar dengan hati, bukan hanya mata.
Apabila budaya membaca panjang hilang, yang hilang bukan hanya pengetahuan, tetapi keupayaan berfikir perlahan dan merasakan dalam.
Sastera menjadikan manusia lebih manusia, kerana di dalamnya ada renungan, konflik, kasih dan kesunyian yang kita kenal tetapi jarang kita sebut.
Kini, generasi tatal mungkin tahu banyak hal, tetapi sering merasa kosong.
Mereka memiliki dunia di hujung jari, tetapi kehilangan dunia di dalam diri.
KEMABUKAN ANGGUR
Anggur bergayut masak
mengundang rasa enak
sang pencari istiqamah terus
takkan memetik dengan rakus
dipilih buah yang mata
nggugur sendiri sebelum dibuang
atau belum cukup waktu
tanpa dibuai hawa nafsu.
Kelazatan dicicip pada rasa
lewat nikmat mabuk kalbubukan perahan jus sia-sia
tetapi siapa menanam
dan menumbuhkannya.
BASRI ABDILLAH
Reruai Kreatif PUTERA9 Disember 2025



