KUCHING: Seorang adik kandung diperintahkan bon menjaga keamanan selama enam bulan setelah mengugut menyerang abangnya dengan sebilah parang, hanya kerana abangnya menegur supaya tidak membuat bising.
Ia susulan, mangsa (abang) yang sedang tidur terganggu mendengar adiknya yang bernyanyi dengan suara bising semasa memasak mi segera.
Oleh itu, perbuatan Azrol Ahmat, 31, membawa padah apabila Mahkamah Majistret di sini, hari ini, memerintahkan bon menjaga keamanan selama enam bulan dengan jaminan RM500 beserta seorang penjamin tempatan.
Azrol mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Menurut fakta kes, pada 27 Januari lalu, sekitar jam 10 pagi, dalam ruang tamu rumah mereka di Tabuan Cemerlang, pengadu lelaki berusia 33 tahun sedang tidur.
Pengadu yang terganggu dengan suara bising adiknya (tertuduh) lalu menegur supaya jangan berbuat bising.
Namun, tertuduh yang enggan menerima teguran tersebut lalu mengamuk serta bertindak mengambil sebilah parang dan mengacukan ke arah pengadu sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.
Pengadu yang bimbang akan keselamatan diri lalu melarikan diri keluar rumah dan membuat laporan polis seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

