ARTIKEL

ADUN Ngemah Mahu Projek pembangunan MiRRDA Dipercepat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak diharap dapat mempercepat pelaksanaan projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) supaya manfaatnya dapat dinikmati penduduk di kawasan tengah Rajang, khususnya di Parlimen Kanowit dan Selangau.

ADUN Ngemah, Anyi Jana berkata, walaupun MiRRDA ditubuhkan secara rasmi pada Julai 2023 bagi merangka pelan pembangunan wilayah tengah Rajang, namun projek di bawah agensi itu masih belum bermula setakat ini.

Beliau berkata, objektif utama penubuhan MiRRDA adalah untuk meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk serta membasmi kemiskinan di wilayah berkenaan.

“Kita berharap kerajaan dapat memberi perhatian serta meluluskan peruntukan bagi cadangan projek pembangunan di kawasan MiRRDA agar ia dapat memberi manfaat kepada rakyat selaras dengan matlamat penubuhannya.

“Pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti pembukaan ladang kelapa sawit, ladang kopi dan pembinaan jaringan jalan raya yang baik pastinya mampu meningkatkan sosioekonomi penduduk di kawasan MiRRDA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Beliau turut membangkitkan keperluan pembangunan di tiga Skim Penempatan Semula (SPS) RASCOM di DUN Ngemah iaitu SPS Nanga Jagau, SPS Nanga Ngungun dan SPS Nanga Tada yang ditubuhkan sejak 1972.

Jelasnya, penempatan itu diwujudkan bagi mengekang ancaman komunis serta menjaga keselamatan penduduk ketika itu, namun kini memerlukan perhatian semula memandangkan kawasan berkenaan sudah memasuki generasi ketiga penduduk.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian surat hak milik kepada penduduk rumah panjang di ketiga-tiga SPS berkenaan selain membuka kawasan penempatan baharu kerana keadaan penempatan sedia ada semakin sesak.

Katanya, kerja membaik pulih dan menaik taraf rumah panjang juga perlu dilaksanakan termasuk penggantian atap bocor, pendawaian semula dan paip air yang sudah usang.

“Kawasan SPS juga perlu dibangunkan dengan aktiviti ekonomi yang mampu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup penduduk,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Anyi turut memohon beberapa projek infrastruktur di DUN Ngemah diberi perhatian segera termasuk penambahbaikan operasi Feri Ram Sedaya.

Selain itu, beliau turut memohon beberapa jalan utama dan jalan simpang di kawasan Ngemah dinaik taraf termasuk Jalan Nibong Tada, Jalan Simpang Sedaya Lama serta jalan balak ke SPS Nanga Jagau dan Hulu Sungai Ngemah.

Katanya, jalan balak berkenaan digunakan oleh 21 rumah panjang di SPS Nanga Jagau, tiga rumah panjang di Ulu Ngemah dan empat rumah panjang di kawasan Ulu Poi.

Beliau turut meminta projek pembinaan Jalan Nanga Ngungun-Nanga Nirok-Nanga Jagau-Ulu Ngemah disiapkan mengikut jadual selain cadangan pembinaan Jalan Nanga Dap-Nanga Ngemah-SPS Nanga Ngungun serta Jalan Batu Luking ke Teluk, Batang Rajang diberi perhatian kerajaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU