ADUN Repok hulur sumbangan kilat bantu ringan beban mangsa kebakaran

SARIKEI: Nasib malang tiga sekeluarga yang terjejas selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Sungai Petai, malam tadi mendapat perhatian ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Tiong Sii melalui wakilnya, Kapitan Ling Dieng Yong menghulurkan sumbangan segera bagi meringankan beban kesemua mangsa yang terlibat.

Sehubungan itu beliau turut bersimpati dengan nasib mangsa sambil menyifatkan kejadian sebagai ujian dalam hidup.

“Saya ingin berkongsi rasa sedih dengan nasib mangsa. Sehubungan itu, saya berharap mereka sabar dan tabah dengan dugaan yang menimpa,” katanya.

Pada masa yang sama beliau juga menzahirkan rasa syukur kerana semua mangsa terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam insiden kira-kira 8.40 malam itu, mangsa yang masing-masing berusia 15 hingga 55 tahun sempat keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Ketiga mangsa dilaporkan bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan namun, tidak sempat bertindak menyelamatkan harta benda mereka.

Sehubungan itu Bomba dan Penyelamat Sarikei bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.47 malam.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja kami tiba di tempat kejadian kediaman berkenaan sudah musnah,” kata Ketua Balai, Mahmudin Narudin.

Suara Sarawak