BINTULU: Sempena kedatangan bulan Ramadan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming meneruskan tradisi tahunan dengan menyampaikan sumbangan kurma kepada sembilan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan DUN Tanjong Batu.
Sembilan JKKK yang menerima sumbangan tersebut ialah JKKK Lucky Tower, Taman Tinggi, RPR Sebiew, Taman Iris, YTD Garden, Taman Binco, Simple Park, Bandar Jaya dan Taman Kembara.
Menurut Pang, pengagihan kurma itu telah menjadi tradisi Pusat Khidmat DUN Tanjong Batu setiap kali menjelang Ramadan sebagai tanda penghormatan terhadap masyarakat Islam yang menjalani ibadah puasa.

“Ini merupakan program tahunan pusat khidmat ini sebagai tanda menghormati kepelbagaian kaum dan perbezaan agama di bahagian ini, sekali gus mencerminkan keprihatinan terhadap masyarakat Islam setempat,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan tersebut di Pusat Khidmat DUN Tanjong Batu, Isnin.
Menurut beliau, aktiviti kemasyarakatan seperti itu wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja membawa kegembiraan kepada penerima, malah berupaya mengukuhkan hubungan dan persefahaman dalam kalangan penduduk setempat.
“Sarawak sinonim dengan masyarakat majmuk yang hidup dalam suasana aman dan saling menghormati. Amalan berkongsi dan saling memahami adat serta kepercayaan seperti ini perlu terus dipupuk,” katanya.
Jelasnya lagi, amalan berbuka puasa dengan kurma merupakan tradisi dalam Islam yang mempunyai kepentingan dari sudut keagamaan serta kesihatan.
“Kurma mengandungi nutrien yang dapat membantu memulihkan tenaga selepas seharian berpuasa dan sesuai dijadikan makanan pembuka ketika berbuka,” ujarnya sambil menambah bahawa pengagihan kurma menjelang Ramadan juga mencerminkan semangat perkongsian serta keprihatinan sosial dalam kalangan pemimpin dan masyarakat setempat.
Selain kurma, Pang turut mengagihkan takwim waktu berbuka puasa dan imsak bagi memudahkan masyarakat Muslim membuat rujukan sepanjang bulan Ramadan.


