ARTIKEL

Afdlin ketika ditemui selepas Bengkel Persediaan Tenaga Pengajar ke Sesi Pitching 2026 dan Sesi Libat Urus Industri Kreatif di Negeri Sarawak di Hotel Hilton Kuching, hari ini.

Afdlin: Pembikinan filem mampu capai tahap Hollywood dengan AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dilihat penting dalam memacu perubahan positif industri perfileman negara termasuk membantu mengurangkan kos produksi serta memperkemas proses pembikinan filem.

Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki berkata, perkara paling penting dalam pembikinan filem ialah aliran kerja yang jelas.

Katanya, ramai orang sekarang sekadar menggunakan AI secara sambil lewa, hanya memasukkan “prompt” semata-mata, sedangkan itu bukan pembikinan filem yang sebenar.

“Pembikinan filem yang baik perlu mempunyai perancangan dan aliran kerja yang sistematik. Kita juga perlu menentukan sistem AI yang mahu digunakan.

“Kami mengkaji sistem yang digunakan di Hollywood dan mereka berjaya mengurangkan kos produksi… itulah yang kita mahu lakukan juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Bengkel Persediaan Tenaga Pengajar ke Sesi Pitching 2026 dan Sesi Libat Urus Industri Kreatif di Negeri Sarawak di Hotel Hilton Kuching, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menambah usaha berkenaan tidak boleh dilakukan secara sambil lewa atau tanpa ilmu yang mencukupi, sebaliknya perlu dilaksanakan mengikut standard yang ditetapkan.

“Jadi saya akan mencadangkan kepada Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac supaya kita mengadakan sesuatu berkaitan AI bersama-sama para pengarah dan pembikin filem termasuk dalam penyediaan proposal.

“Apabila membuat pembentangan idea, mereka sudah boleh menggunakan AI supaya orang memahami bahawa mereka mengikuti perkembangan teknologi dan pada masa sama merupakan pencerita yang baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Afdlin memaklumkan sebagai pengarah, beliau melihat penggunaan AI mampu mengurangkan kos dalam menghasilkan pembentangan idea video.

Menurutnya, sebelum ini penggiat industri perlu memanggil kru produksi lebih awal semata-mata untuk menyiapkan pembentangan idea video bagi mendapatkan sesuatu projek.

“Dulu kalau mahu buat pembentangan idea video, kita perlu memanggil kru produksi terlebih dahulu semata-mata untuk memperoleh projek. Apabila projek sudah diperoleh, barulah kru dipanggil semula untuk bekerja,” jelasnya.

Beliau berkata, teknologi AI perlu dipelajari dan dikuasai oleh semua penggiat industri kreatif kerana jika gagal menguasainya, mereka akan ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi semasa.

Malah, katanya, Kementerian Digital juga menyatakan bahawa menjelang 2030, Malaysia akan menjadi negara dipacu AI.

“Ini bermakna anda tidak boleh mengelakkannya. Sama seperti internet dahulu, kita tidak mampu menghalangnya. Sekarang AI juga begitu — kita tidak boleh menghentikannya. Jadi, kuasailah AI dan jadilah lebih hebat. Anda semua boleh mencapai tahap Hollywood dengan AI,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU