KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar menyeru para imam, guru takmir dan guru kafa di Sarawak supaya menguasai teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, ia sesuai dengan hasrat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu umat Islam di negeri ini tampil sebagai pemimpin yang progresif.
“Umat Islam perlu menunjukkan keupayaan mereka untuk memimpin sesuai dengan perkembangan zaman seperti harapan premier kepada Murabbi, imam-imam, guru takmir dan guru kafa di Sarawak ini.
“Jadi ini antara sebab saya sendiri sebagai Menteri mengikuti jelajah ini yang kita nampak cara pendekatan yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin negeri dalam menyampaikan hasrat mereka kepada golongan agamawan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Jelajah MADANI Ulama dan Umara peringkat Sarawak di Wisma SABATI, di sini, semalam.
Jelas Naim, dengan kefahaman yang jelas dalam kalangan golongan Murabbi ini dengan golongan pentadbir khususnya para pemimpin negeri, maka Islam akan subur dapat berkembang dengan baik. Malah katanya masyarakat Islam dan bukan Islam dapat hidup dengan aman dan juga sejahtera di Sarawak.
Jelajah ini, yang termasuk dalam Pelan Transformasi Al-Falah (PTF) bagi tempoh 2023-2027, bertujuan memperkukuhkan pengurusan masjid, pendidikan agama, dan menangani isu-isu semasa dalam negara.
Naim menjelaskan pelbagai inisiatif dilaksanakan menerusi program ini oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui JAKIM, termasuk pemberian imbuhan bulanan kepada imam, guru takmir, dan guru KAFA, serta bayaran khas sebanyak RM700 secara sekali beri kepada mereka.
Jelasnya, inisiatif lain termasuk caruman PERKESO di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan (SKSPS) bagi penerima di Sarawak.


Foto Ramidi Subari


