ARTIKEL

Agong Titah Pendekatan Berhemah Perbelanjaan Awam Penting Urus Sumber Negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah bahawa pendekatan berhemah dalam perbelanjaan awam amat penting bagi memastikan sumber negara diurus secara cekap serta berkesan.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah pendekatan sedemikian adalah kritikal terutama dalam mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum langkah berjimat yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan negara,” menurut hantaran itu.

Sultan Ibrahim bertitah demikian semasa berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.

Menurut hantaran itu lagi, Seri Paduka Baginda berkenan menerima persembahan taklimat mengenai perkembangan semasa ekonomi dan keselamatan negara serta isu kos sara hidup selain langkah yang diambil kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan.

Taklimat berkenaan turut menyentuh aspek keselamatan negara yang meliputi keselamatan dalam negeri, kawalan sempadan serta tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan.

Sesi taklimat tersebut mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap perkembangan semasa dan kesejahteraan negara secara menyeluruh. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU