BINTULU: Program Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) perlu dimanfaatkan sebagai platform untuk mendekatkan komuniti luar bandar dengan Jabatan Pertanian, terutama dalam mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta peluang pembangunan sektor pertanian.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi, berkata pendekatan secara langsung dengan masyarakat penting bagi memastikan maklumat berkaitan teknologi, bantuan dan peluang pertanian dapat disampaikan secara lebih berkesan.

Beliau berkata penglibatan masyarakat dalam sektor pertanian juga perlu terus diperkasa kerana bidang itu berpotensi menjadi sumber pendapatan serta meningkatkan kesejahteraan keluarga.
“Program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan Jabatan Pertanian dan mendapatkan maklumat mengenai peluang serta bantuan yang boleh dimanfaatkan.
“Saya berharap masyarakat mengambil peluang ini untuk mendapatkan khidmat nasihat dan ilmu yang boleh membantu mereka mengembangkan aktiviti pertanian masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Rumah Rosita Awal, Batu 17, Jalan Bintulu-Miri pada Sabtu.
Majang berkata sektor pertanian kini menawarkan pelbagai peluang ekonomi, justeru masyarakat perlu lebih terbuka meneroka kaedah, teknologi dan pendekatan baharu bagi meningkatkan produktiviti serta nilai hasil pertanian.
Katanya, kerjasama erat antara komuniti dengan Jabatan Pertanian penting bagi memastikan inisiatif pembangunan sektor itu dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar masyarakat setempat.
“Jabatan Pertanian mempunyai kepakaran dan pengetahuan teknikal, manakala masyarakat pula mempunyai sumber serta pengalaman di peringkat setempat.
“Apabila kedua-dua elemen ini digabungkan, ia boleh membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti dan membantu meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.
Beliau turut menggalakkan golongan muda melihat pertanian sebagai bidang yang mempunyai potensi ekonomi, khususnya dengan penerapan teknologi moden, mekanisasi dan pendekatan keusahawanan.
Menurutnya, perubahan dalam kaedah pertanian serta penggunaan teknologi mampu membantu masyarakat meningkatkan kecekapan pengeluaran selain menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah.
Program AgriCOP anjuran Jabatan Pertanian Daerah Bintulu itu antara lain memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peluang, bantuan dan inisiatif pembangunan pertanian, selain menyediakan ruang interaksi secara langsung antara komuniti dengan pihak jabatan.
Program berkenaan turut mencerminkan usaha memperluas pendekatan pembangunan pertanian moden hingga ke peringkat akar umbi, sekali gus memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan daripada arus perkembangan teknologi dan peluang ekonomi dalam sektor berkenaan.


