PAKAN: Bahagian Sarikei yang meliputi daerah Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai hab pengeluaran makanan utama di Sarawak berikutan kekuatan sektor pertanian serta keluasan tanah yang sesuai untuk pembangunan agromakanan.
ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, kelebihan yang dimiliki kawasan tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong agenda keterjaminan makanan negeri dan meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi Sarawak.
Daerah Pakan sendiri katanya, terkenal sebagai kawasan pengeluaran pelbagai jenis sayur, buah dan produk hiliran bernilai tinggi seperti perkasam ensabi, ragi serta produk berasaskan lada yang mempunyai potensi pasaran yang luas.
“Penganjuran Agrofest Pakan 2026 menjadi platform penting dalam menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk petani, usahawan tani, agensi kerajaan, pelabur dan masyarakat setempat bagi memperkukuh pembangunan industri agromakanan.
“Program seperti ini bukan sahaja mempamerkan hasil pertanian dan produk tempatan, malah membuka ruang kepada perkongsian ilmu, teknologi serta peluang kerjasama yang mampu memacu kemajuan sektor pertanian,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Agrofest Pakan di Laman Pakan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata tema penganjuran tahun ini, Inovasi Pertanian Demi Keterjaminan Makanan amat bertepatan dengan usaha kerajaan memperkasakan sektor pertanian sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi serta sumber bekalan makanan yang mampan.
Beliau turut menyifatkan Agrofest Pakan 2026 sebagai penganjuran yang bersejarah apabila buat pertama kalinya diadakan di Laman Pakan selepas edisi terdahulu dianjurkan di Stadium Pakan.


