ARTIKEL

Dr Hazland berucap dalam Program International Workshop on Climate Change Resilience (IWCCR).

Agroperhutanan kekalkan alam semula jadi hutan, jana pendapatan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Agroperhutanan merupakan antara inisiatif baharu yang boleh dipertengahkan untuk mengekalkan kelestarian alam semula jadi hutan, sekali gus menjana pendapatan kepada Sarawak.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kemampanan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, inisiatif tersebut adalah di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkongsi mengenai inisiatif berkenaan selepas menghadiri Global Renewable Hub Pavilion sempena COP30 di Belém, Pará, Brazil.

“Semasa menghadiri hab tersebut, kami membincangkan mengenai agroperhutanan, iaitu pertanian dalam hutan tanpa merosakkan atau mengganggu ekosistem hutan.

“Selain itu, turut dibincangkan pertanian regeneratif yang bertujuan memperbaiki dan menjana semula kesuburan tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program International Workshop on Climate Change Resilience (IWCCR) di Hotel Harbour View, di sini, hari ini.

Menurutnya, dua topik utama itu turut menjadi fokus pada COP13, selain perbincangan mengenai ganjaran mengekalkan hutan.

Jelasnya, negara seperti Brazil, Indonesia, Congo, Malaysia, Thailand dan beberapa negara lain yang mempunyai kawasan hutan yang luas perlu diberikan ganjaran untuk mengekalkan hutan, selain daripada inisiatif perdagangan karbon.

“Satu idea yang baik dibincangkan dalam Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) ialah cadangan pemberian bon hijau oleh pelabur dunia.

“Sebahagian faedah daripada bon itu disalurkan kepada negara yang mempunyai rekod terbaik dalam mengekalkan kelestarian hutan mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, inisiatif tersebut merupakan pendekatan baharu yang memberi manfaat kepada negara berkaitan.

Namun, katanya, Malaysia masih menunggu mekanisme tepat bagaimana dana itu akan disalurkan.

“Kita bimbang dana tersebut hanya disalurkan kepada negara tertentu dan bukan kepada Indonesia atau Malaysia. Jadi, kita tunggu dan lihat, tetapi inisiatif itu sudah ada,” katanya.

Dr Hazland menyerahkan cenderahati kepada wakil Konsortium Universitas Universiti Borneo (KUUB).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU