Ahli Parlimen GPS tidak mudah diperdaya

KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi jaminan bahawa GPS parti politik yang berdisiplin dan kukuh di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, sepanjang Abang Johari menjadi Ketua Menteri, GPS terus bersama-sama sebulat suara dalam membuat keputusan.

“Jadi saya tidak percaya khabar angin mengenai Ahli Parlimen GPS kini begitu mudah ditarik masuk ke parti politik lain seperti menjual daging kambing dan ayam di pasar.

“Saya tidak percaya langsung,” tegasnya ketika ditemui selepas lawatan tapak projek di Kampung Selipar Putus semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa terdapat Ahli Parlimen GPS yang terlibat dengan 129 sokongan bagi membentuk kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Malah katanya, menerusi pesanan ringkas WhatsApp yang diterima daripada Ahli Parlimen Sarawak lain semalam, mereka turut mempersoalkan mengenai isu itu.

“Tindakan seperti kata-kata yang diungkapkan oleh Tun Samy Vellu – ini kerja orang gila-gila sahaja!

“Ia tepat bagi menjelaskan situasi tersebut. Jumlah 129 sokongan ini mungkin sekadar angka kerana sokongan GPS terhadap Tun Dr Mahathir telah berpindah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jadi kini, ia tidak boleh digunakan lagi. Apabila kita sudah sokong Muhyiddin, kita tidak fikir lain lagi, kita akan kekal bersama beliau walaupun GPS bukan di bawah PN tetapi mesra Putrajaya,” tegasnya lagi.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, GPS mengulangi pendirian menyokong penuh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Jika kerajaan hari ini tidak wujud, mungkin kita berdepan dengan masalah besar dalam menangani Covid-19.

“Jadi kita bersyukur dengan kerajaan sekarang dan kerjasama Sarawak dan persekutuan, wujudnya kestabilan hingga meletakkan Malaysia sebagai negara empat terbaik menangani Covid-19 di dunia dan di rantau Asia,” ujarnya.