ARTIKEL

Ahli perniagaan ditahan reman tujuh hari, bantu siasatan kes kematian di pangsapuri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan tahanan reman selama tujuh hari terhadap seorang ahli perniagaan bagi membantu siasatan dalam kes kematian di sebuah pangsapuri di Jalan Sungai Tapang pada Disember tahun lalu.

Permohonan tahanan reman terhadap suspek berusia 38 tahun itu, yang dilakukan oleh Pegawai Penyiasat, ASP Sylvarius Gopog, dibenarkan oleh Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Selain itu, Syarifah Fatimah memerintahkan suspek, yang diwakili peguam, Roger Chin, untuk dihadap semula ke mahkamah pada 4 Mac depan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang lagi suspek dalam kes tersebut, lelaki berusia 27 tahun, dilanjutkan reman selama lima hari lagi bermula hari ini hingga 2 Mac depan.

Sebelum ini, Syarifah Fatimah memerintahkan suspek ditahan reman dari 19 hingga 25 Februari ini.

Suspek diwakili oleh peguam, Hani Iryani Bonny.

Seramai lapan lelaki berusia 22 hingga 48 tahun difahamkan telah ditangkap dan direman untuk membantu siasatan dalam kes bunuh berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa suspek dibebaskan dan dijadikan saksi kejadian, manakala ada yang dibebaskan dengan bon.

Pada 1 Disember 2024, media melaporkan penemuan seorang lelaki yang terbaring di dalam sebuah bilik di pangsapuri berkenaan dengan kesan tetakan pada seluruh badan.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Mohd Radzi, dalam kenyataannya pada waktu itu, pihaknya menerima maklumat tentang satu kejadian pergaduhan sekitar jam 4.40 pagi.

Susulan itu, beberapa tangkapan telah dibuat bagi membantu siasatan, dan kes siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi ASP Sylvarius di talian 013-637241.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU