KUCHING: Bekas penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri, secara rasmi berpindah ke kelab Kuching City FC (KC FC).
Kelab tersebut mengesahkan perpindahannya menerusi pengumuman rasmi di laman sosial, hari ini.
Perpindahan pemain berusia 33 tahun dari Labuan itu mendapat perhatian netizen, khususnya penyokong The City Boys selepas posting itu mendapat lebih seribu reaksi tanda suka.
“Hazwan Bakri ialah Kuching City! Selamat datang ke Kuching City FC @Hazwanbakri19,” jelas kenyataan itu.
Pemain yang lebih dikenali dengan panggilan Jack itu menjadi ejen bebas selepas kontraknya dilaporkan tidak lagi dikekalkan bersama Johor Darul Ta’zim FC pada akhir musim 2023.
Kehadiran Hazwan dalam skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dijangka bakal mempertajam bahagian serangan Kuching City bersama Tchetche dan Jordan Mintah.
Terdahulu, Hazwan berehat panjang selepas mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament’ (ACL) atau ligamen pelipat belakang lutut.
Ini bagi memastikan beliau pulih sepenuhnya dan dapat meneruskan karier dalam sukan bola sepak.
Beliau memilih Kuching City dalam perpindahan jendela kedua biarpun dilaporkan mendapat tawaran daripada beberapa kelab terkemuka dalam kancah Liga Super Malaysia.


