KUCHING: Teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan untuk memelihara warisan Melayu Sarawak menerusi pendigitalan manuskrip lama, rakaman sejarah lisan dan pembangunan arkib digital.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, warisan Melayu Sarawak merangkumi bahasa, adat resam, kesusasteraan, seni persembahan, busana tradisional dan makanan warisan yang perlu terus dipelihara.
“Pendekatan memanfaatkan AI membolehkan khazanah budaya masyarakat Melayu didokumentasikan dan diakses oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Wisma Melayu Sarawak yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di sini, malam tadi.
Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Sehubungan itu kata Abang Johari, generasi muda perlu berperanan sebagai penyelidik, pencipta dan penggerak kepada pendekatan baharu dalam memperkenalkan warisan berkenaan.
“Gabungan ilmu, kreativiti dan teknologi mampu menjadikan warisan kita terus relevan tanpa kehilangan identitinya,” katanya lagi.
Menjelaskan mengenai Wisma Melayu, beliau berkata nilai sebenar Wisma Melayu Sarawak bukan hanya terletak pada keindahan fizikal dan seni binanya, tetapi keupayaannya menjadi pusat kegiatan ilmu, kebudayaan, pembangunan masyarakat dan ekonomi komuniti.
Justeru beliau berharap bangunan itu menjadi pusat pertemuan generasi muda untuk membincangkan masa depan masyarakat, mempertahankan budaya dan mengangkat martabat orang Melayu.
“Saya harap pusat ini ialah pusat pertemuan anak-anak Melayu untuk berfikir masa depan, untuk anak-anak Melayu mempertahankan budaya, dan seterusnya untuk anak-anak Melayu mengangkat martabat orang Melayu pada masa yang akan datang,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru anak Sarawak menguasai ilmu dan menjadi pakar dalam bidang ekonomi baharu bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global.
Katanya, pendidikan merupakan pendekatan penting untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan kedudukan sosioekonomi masyarakat di negeri ini.




