KUCHING: Muzium Tamadun Melayu Sarawak yang bakal diwujudkan di Wisma Melayu Sarawak di sini akan menghimpunkan rekod sejarah, manuskrip dan artifak berkaitan warisan masyarakat Melayu di negeri ini.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, muzium itu akan berfungsi sebagai pusat rujukan sejarah dan pendidikan untuk mengetengahkan warisan budaya masyarakat Melayu Sarawak serta komuniti berkaitan.
“Inisiatif itu mencerminkan kepentingan memelihara identiti budaya selain memastikan generasi muda terus mengenali sejarah dan warisan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Wisma Melayu Sarawak yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sini, malam tadi.
Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Selain muzium, bangunan itu turut menempatkan dewan utama, pejabat pentadbiran yayasan, Pusat Sumber Melayu dan surau.
Dewan utama berkenaan mampu menampung kira-kira 2,000 orang bagi persidangan dan 1,500 orang untuk majlis makan malam.
Awang Tengah berkata, reka bentuk Wisma Melayu Sarawak diinspirasikan daripada tengkolok atau destar, iaitu penutup kepala tradisional Melayu yang melambangkan kebesaran, kedaulatan dan maruah.
“Konsep ini juga mempunyai kaitan rapat dengan sejarah masyarakat Melayu di Sarawak serta reka bentuk asal logo yayasan yang diperkenalkan pada 1994,” tambahnya.
Beliau berkata, Wisma Melayu Sarawak turut menjadi platform untuk semua kaum melaksanakan aktiviti berkaitan ilmu pengetahuan, pendidikan, sejarah dan kebudayaan.
“Pengalaman generasi terdahulu perlu digabungkan dengan kemahiran dan perspektif baharu generasi muda.
“Dengan cara ini, warisan yang dipelihara dapat terus berkembang dan kekal relevan seiring perubahan zaman,” jelasnya.





