ARTIKEL

Abang Johari pada sesi fireside chat di Ibu Pejabat Bank Pembangunan Asia Development Bank (ADB) di Manila, Filipina, hari ini. Foto: TVS

AI bantu tangani cabaran tenaga kerja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MANILA: Perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik, semikonduktor dan pemprosesan data dijangka memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi dunia serta membantu menangani cabaran tenaga kerja susulan perubahan demografi dan penuaan penduduk.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan itu menyaksikan penting untuk Sarawak memperkukuh pembangunan bakat dan pendidikan bagi memastikan rakyat bersedia menghadapi perubahan teknologi yang dijangka mengubah struktur ekonomi dan tenaga kerja pada masa akan datang.

“Penggunaan robot dan AI berpotensi membantu manusia dalam sektor tertentu, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia dalam menghadapi perubahan demografi.

“Bagaimanapun, manusia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada AI kerana kebijaksanaan, pertimbangan dan keupayaan membuat keputusan masih menjadi aspek penting dalam menghadapi perubahan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi fireside chat di Ibu Pejabat Bank Pembangunan Asia Development Bank (ADB) di Manila, Filipina, hari ini.

Dalam pada itu katanya, pembangunan modal insan perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi bagi memastikan rakyat mampu mengambil bahagian dalam ekonomi baharu.

“Perkembangan AI, semikonduktor dan pemprosesan data dijangka terus berkembang dalam tempoh tujuh hingga 10 tahun akan datang.

“Oleh itu, generasi muda perlu bersedia menghadapi perubahan ini dengan menguasai teknologi, namun pada masa sama mengekalkan nilai kemanusiaan, kebijaksanaan dan integriti,” ujarnya.

Malah, kesedaran terhadap kepentingan teknologi mendorong Kerajaan Sarawak memperkenalkan agenda ekonomi digital pada 2017 yang terbukti penting ketika pandemik COVID-19.

“Disebabkan itu, pemimpin masa depan perlu mempunyai keyakinan, keupayaan dan integriti untuk memimpin masyarakat dalam dunia yang semakin kompleks.

“Teknologi mungkin berubah dengan pantas, namun karakter dan integriti kekal menjadi asas penting dalam membentuk kepimpinan yang mampu membawa Sarawak ke arah pembangunan lebih mampan,” tegasnya.

Sementara itu katanya, dalam usaha menyediakan tenaga kerja untuk ekonomi masa depan, Kerajaan Sarawak turut memberi penekanan kepada pendidikan percuma dalam bisang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kerajaan Sarawak memperuntukkan kira-kira RM250 juta bagi kos pendidikan tahun ini, manakala jumlah perbelanjaan pendidikan dalam tempoh empat tahun mencecah sekitar RM1 bilion.

“Selain STEM, bidang lain turut ditawarkan termasuk kewangan, undang-undang dan bidang berkaitan teknologi bagi meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran rakyat,” jelasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dan Mandarin, bagi membolehkan rakyat negeri ini bersaing dalam pasaran antarabangsa.

“Rakyat Sarawak yang memperoleh pengalaman di luar negara juga digalakkan kembali menyumbang kepada pembangunan negeri dengan membawa pulang pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh,” tambahnya.

Terdahulu, Abang Johari tiba di Manila pada Isnin bagi memulakan lawatan kerja rasmi ke ADB, institusi kewangan pembangunan multilateral yang menyokong pembangunan ekonomi dan sosial di rantau Asia dan Pasifik melalui pembiayaan, bantuan teknikal serta khidmat nasihat.

Beliau mengetuai delegasi Sarawak yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan serta wakil beberapa entiti strategik, termasuk Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Sarawak Energy Berhad dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

Antara yang menyertai delegasi ialah Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili serta Ketua Pegawai Eksekutif DBOS Datuk Laura Lee Ngion Hion.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU