ARTIKEL

RAMIDI SUBARI

AI Bukan Ancaman, Graduan Perlu Lebih Berdaya Saing – Suhaimi Sulaiman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri penyiaran bukanlah alasan untuk mengurangkan pengambilan graduan baharu. Sebaliknya golongan muda perlu menjadi lebih bernilai dan berdaya saing agar sentiasa relevan di mata majikan.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman berkata apa yang penting ketika ini ialah bagaimana seseorang graduan mampu melengkapkan diri dengan kemahiran tambahan di luar apa yang dipelajari di universiti bagi memenuhi keperluan industri yang berubah pantas.

“Dunia kewartawanan masa kini menuntut wartawan bukan sahaja mahir menulis berita tetapi juga celik teknologi, memahami penggunaan AI dan mampu menghasilkan kandungan pelbagai platform.

“Jika awak ada ijazah dalam kewartawanan sekalipun, kalau awak boleh buat perkara yang jauh lebih baik daripada AI maka nilai awak akan jauh lebih tinggi,” jelasnya ketika ditemui selepas majlis penutupan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2025 di sebuah hotel di sini hari ini.

Menurut beliau, AI sememangnya akan mengambil alih beberapa tugas tertentu seperti kerja ulangan, namun peranan manusia tetap diperlukan untuk menghasilkan kandungan yang berkualiti dan berjiwa.

“Posisi masih ada tetapi kita perlu datang dengan set kemahiran baharu untuk menepati keperluan baharu.

“Nilai kita mesti lebih daripada apa yang AI boleh lakukan secara automatik,” ujarnya.

Menyentuh penggunaan pembaca berita AI di RTM bagi siaran Mandarin, Suhaimi menjelaskan bahawa langkah itu bukanlah untuk menggantikan manusia sepenuhnya tetapi sebagai penyelesaian sementara menunggu calon tetap yang sesuai.

“Ramai anak muda yang berminat dengan dunia penyiaran masa kini lebih cenderung memilih pekerjaan secara sambilan dan enggan terikat dengan jadual tetap.

“Ada yang tidak mahu kerja hujung minggu, ada yang tidak mahu kerja Isnin. Jadi kita guna AI sebagai langkah sementara dan bila sudah ada calon tetap yang sesuai, kita akan gunakan mereka semula,” katanya.

Tambah beliau, AI juga berperanan menambah nilai dalam penyampaian berita, khususnya bagi segmen seperti berita komuniti, minat manusia dan hiburan, manakala berita serius tetap dikendalikan oleh penyampai manusia.

Suhaimi turut menegaskan bahawa AI hanya mampu berfungsi dengan baik jika diberikan data yang mencukupi dan sesuai dengan konteks tempatan.

“Masih banyak maklumat berkaitan Sarawak yang tidak terdapat dalam pangkalan data sedia ada. Justeru usaha perlu dilakukan untuk mengajar AI dengan data yang boleh dikongsi.

“Ada banyak perkara tentang Sarawak yang mungkin tiada dalam data sedia ada. Jadi kita perlu mengajar AI tentang data tempatan agar hasil carian dan cadangan lebih bermakna,” jelas beliau.

Dalam hal ini, beliau berpandangan bahawa adaptasi kepada teknologi baharu tidak seharusnya dilihat sebagai satu kos, sebaliknya satu bentuk pelaburan penting untuk masa depan.

“Ini adalah ilmu yang kita tidak boleh elak. Kalau kita tidak manfaatkan, kita akan ketinggalan.

“Kita perlu bijak guna teknologi ini agar kita jadi lebih hebat,” tegasnya.

Suhaimi turut mengingatkan warga media agar sentiasa mengekalkan semangat pembelajaran sepanjang hayat bagi terus kekal relevan dalam industri yang semakin dipengaruhi teknologi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU