BAYANGKAN Ali. Seorang pegawai akaun yang sudah 15 tahun setia di meja yang sama.
Setiap pagi, rutinnya hampir serupa — menaip laporan, menyusun angka, memeriksa invois dan mengesahkan dokumen kewangan.
Namun suatu hari, tugasan itu tidak lagi menantinya.
Sebuah sistem kecerdasan buatan (AI) mengambil alih kerja-kerja yang sekian lama menjadi denyut nadinya.
Ali terdiam.
Bukan kerana malas, tetapi kerana cemas.
Apa akan jadi pada pekerjaanku?
Adakah aku sudah ketinggalan zaman?
Ketakutan seperti yang dirasai Ali bukan lagi cerita rekaan.
Ia sedang berlaku — senyap tetapi nyata — di pejabat, kilang dan kaunter perkhidmatan di seluruh dunia.
Malaysia juga tidak terkecuali.
Hari ini, AI semakin menembusi ruang pekerjaan bersifat rutin.
Daripada sektor pembuatan hingga perkhidmatan sokongan dan pentadbiran, automasi mula mengambil tempat manusia.
Bukan dengan niat jahat, tetapi atas nama kecekapan dan produktiviti.
AI, harus difahami, bukan makhluk bernyawa.
Ia hanyalah sistem dan perisian yang beroperasi berasaskan data serta arahan manusia. Ia tidak berfikir, apatah lagi berniat.
Pakar teknologi menegaskan, AI tiada emosi, tiada agenda — ia sekadar alat, sama seperti komputer dan telefon pintar yang kita gunakan setiap hari.
Namun hakikatnya, walaupun bukan musuh dalam erti kata permusuhan, AI tetap menjadi pesaing dalam ruang pekerjaan tertentu.
Persaingan inilah yang mencetuskan kegusaran sosial dan ketidaktentuan ekonomi.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyifatkan, perkembangan AI sebagai gelombang besar yang bakal mengubah landskap pekerjaan global.
Di negara maju, kira-kira 60 peratus pekerjaan dijangka terkesan — bukan semata-mata digantikan, tetapi melalui proses transformasi.
Ketua Eksekutif Anthropic Dario Amodei memberi amaran, sehingga 50 peratus pekerjaan peringkat awal dalam sektor kolar putih berpotensi digantikan AI dalam tempoh lima tahun.
Goldman Sachs Research pula menganggarkan enam hingga tujuh peratus pekerjaan di Amerika Syarikat berisiko terjejas.
Namun menegaskan, kesan itu bersifat sementara dan diimbangi penciptaan peluang baharu.
Ahli ekonomi sependapat, AI menggantikan tugas, bukan manusia secara keseluruhan.
Secara global, dianggarkan 85 juta pekerjaan terjejas menjelang akhir 2025, tetapi dalam masa yang sama, sekitar 97 juta pekerjaan baharu dijangka diwujudkan.
Menjelang 2030 pula, kira-kira 92 juta pekerjaan mungkin lenyap, namun sehingga 170 juta peluang pekerjaan baharu diramalkan muncul.
AI dan automasi lazimnya menggantikan kerja bersifat berulang dan berstruktur tinggi — kemasukan data, pentadbiran rutin, perkhidmatan pelanggan asas, penterjemahan mudah, perakaunan asas, operasi backoffice, telepemasaran serta pengurusan jadual.
Sebaliknya, pekerjaan yang memerlukan kreativiti, empati, kepimpinan dan penyelesaian masalah kompleks kekal sukar digantikan. Guru, kaunselor, profesional kesihatan, jururunding dan pekerja kreatif masih memerlukan sentuhan manusia.
Di Malaysia, kajian tempatan menunjukkan kira-kira 1.5 juta pekerja dijangka terjejas menjelang 2026, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan sokongan.
Golongan yang kurang kemahiran digital paling terdedah, sekali gus menuntut keperluan mendesak terhadap pembelajaran semula dan peningkatan kemahiran.
Ketakutan terhadap AI bukan sekadar soal kehilangan pekerjaan.
Ia turut memberi kesan kepada kesejahteraan mental — rasa tidak selamat, tekanan emosi dan keletihan kerja.
Tanpa sokongan kerajaan dan majikan, implikasi sosial ini boleh menjadi lebih serius.
Namun di sebalik kebimbangan itu, satu hakikat perlu diakui, AI bukan pengganti manusia. Ia adalah alat yang memperkasakan keupayaan kerja.
AI membantu analisis data, penyelidikan dan automasi tugas rutin, manakala manusia kekal unggul dalam aspek kreativiti, empati, etika dan pertimbangan nilai.
Gabungan manusia dan AI, apabila diurus dengan bijaksana, mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik daripada penggunaan salah satu secara bersendirian.
Kesimpulannya, dunia kerja sedang berubah.
AI bukan pembunuh pekerjaan, tetapi rakan kerja dalam era baharu.
Seperti pepatah Melayu, patah tumbuh, hilang berganti — teknologi mungkin menghapuskan beberapa tugas lama, tetapi membuka ruang kepada peluang baharu.
Yang penting, manusia perlu menyesuaikan diri, belajar kemahiran baharu dan memanfaatkan kelebihan yang sukar ditiru AI.
Bak kata orang tua-tua, bagai aur dengan tebing, manusia dan AI seharusnya saling menyokong, bukan saling mengalah.
Sesungguhnya, AI bukan penamat.
Ia permulaan.
Dan, dalam perubahan ini, siapa yang belajar dan menyesuaikan diri, dialah yang akan menang.


