ARTIKEL

Norazlina Abdul Rahman (tiga kanan) menyampaikan cenderahati kepada Datuk Amar Dr Sim Kui Hian sempena AMLiS 2026. Foto Ramidi Subari

AI ubah peranan perpustakaan perubatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perkembangan kecerdasan buatan (AI), analitik data dan platform kesihatan digital bakal mengubah peranan perpustakaan perubatan daripada sekadar pusat sumber maklumat kepada rakan strategik dalam penyelidikan serta pembangunan penjagaan kesihatan.

Pengerusi Asia Medical Library Seminar 2026 (AMLiS 2026), Norazlina Abdul Rahman berkata, perkembangan teknologi berkenaan memberi peluang kepada perpustakaan perubatan untuk memperkukuh perkhidmatan selain memastikan maklumat kesihatan yang boleh dipercayai terus dapat diakses oleh golongan memerlukan.

Norazlina Abdul Rahman menyampaikan ucapan sempena AMLiS 2026. Foto Ramidi Subari

Menurutnya, perubahan landskap kesihatan dan maklumat memerlukan perpustakaan perubatan sentiasa responsif terhadap keperluan pengguna, khususnya pengamal perubatan, penyelidik dan pelajar.

“Teknologi yang semakin berkembang, termasuk kecerdasan buatan, analitik data dan platform kesihatan digital, sedang mengubah cara maklumat dicipta, diakses dan digunakan.

“Perkembangan ini memberi peluang serta tanggungjawab kepada perpustakaan untuk kekal relevan dan inovatif dalam memberikan perkhidmatan kepada komuniti,” katanya ketika berucap pada Seminar Perpustakaan Perubatan Asia (AMLiS) 2026 di sini hari ini.

Seminar disempurnakan oleh Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Norazlina berkata, peranan pustakawan perubatan juga kini semakin penting dalam penyelidikan klinikal dan pembangunan dasar kesihatan, khususnya ketika sistem penjagaan kesihatan semakin bergantung kepada bukti dan data.

Katanya, kepakaran pustakawan dalam sintesis bukti, pengurusan pengetahuan, kajian sistematik dan sokongan penyelidikan tidak lagi boleh dilihat sebagai perkhidmatan tradisional semata-mata.

“Pustakawan menyumbang jauh melangkaui perkhidmatan maklumat tradisional kerana kepakaran mereka dalam sintesis bukti, pengurusan pengetahuan, ulasan sistematik dan sokongan penyelidikan semakin penting dalam meningkatkan kecemerlangan klinikal serta pembangunan dasar berasaskan maklumat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata AMLiS 2026 turut memberi perhatian kepada usaha merapatkan jurang maklumat kesihatan dalam kalangan komuniti yang berbeza dan kurang mendapat akses.

Menurutnya, ketidaksamaan dalam mendapatkan maklumat kesihatan yang boleh dipercayai masih menjadi cabaran di rantau Asia, sekali gus meletakkan tanggungjawab kepada perpustakaan perubatan untuk memastikan pengetahuan berkualiti dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat.

“Perpustakaan perubatan mempunyai tanggungjawab penting untuk memastikan pengetahuan yang boleh dipercayai sampai kepada semua segmen masyarakat, sekali gus memperkasa individu dan komuniti membuat keputusan bermaklumat mengenai kesihatan serta kesejahteraan mereka,” katanya.

Norazlina berkata, perpustakaan perubatan juga perlu membina rangkaian yang lebih berdaya tahan dan bersifat kolaboratif bagi menghadapi perubahan berterusan dalam sektor kesihatan serta teknologi.

Katanya, usaha itu termasuk memperkukuh kerjasama serantau, menerima inovasi, melabur dalam pembangunan profesional dan membentuk jaringan kolaboratif yang mampu bertindak balas terhadap cabaran kesihatan baharu.

Beliau berkata AMLiS 2026 menjadi platform penting untuk profesional perpustakaan perubatan dan maklumat kesihatan dari seluruh Asia berkongsi pengalaman, pandangan serta perkembangan terbaharu dalam bidang berkenaan.

Seminar berkenaan, yang bertemakan “Empowering Health Knowledge: The Future Role of Medical Libraries in Asia”, turut memberi tumpuan kepada empat bidang utama, iaitu mentakrifkan semula perpustakaan perubatan dalam ekosistem kesihatan digital, peranan pustakawan sebagai rakan penyelidikan klinikal dan dasar, merapatkan jurang maklumat kesihatan serta membina perpustakaan perubatan yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan.

Norazlina berkata, AMLiS 2026 juga mencatat sejarah sebagai seminar pertama dianjurkan di bawah Malaysian Library Group (MLG), sekali gus membuka ruang lebih luas kepada profesional perpustakaan dan maklumat perubatan untuk membina jaringan di peringkat serantau.

Beliau berharap peserta memanfaatkan seminar itu untuk berkongsi pandangan, pengalaman serta membina hubungan kerjasama yang dapat menyumbang kepada pembangunan perpustakaan perubatan di rantau Asia.

“Pengetahuan dan pengalaman yang dikongsi sepanjang seminar ini pastinya menyumbang kepada pembangunan masa depan perpustakaan perubatan di rantau kita.

“Saya berharap perbincangan dan kerjasama yang dimulakan di sini akan terus mencetuskan inovasi serta kecemerlangan dalam bidang kepustakawanan perubatan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,